BERITA

'Perawat Islam' dakwa boleh kurung Covid-19 dalam botol

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Mac 2020, 2:26 pagi

Seorang lelaki yang mendakwa pengamal perubatan Islam menjadi tumpuan selepas mengaku mampu menangkap virus penyebab Covid-19 dan mengurungnya dalam botol.

Menerusi Facebook, individu berkenaan menunjukkan tiga rakaman video sedang menjalankan rawatan terhadap seorang pesakit.

"Saya telah menangkap dan mengurung (bukan selamanya) Convid-19 ke dalam botol. Botol ini saya isi air. Saya simpan dalam freezer (peti sejuk) bersama dengan botol air lain yang kosong dari Covid-19.

"Selama tempoh 5 hari botol berisi Covid-19 tidak membeku sedangkan botol air biasa beku dalam tempoh 6 jam," katanya di Facebook.

Ruqyah merupakan kaedah perubatan Islam dengan cara membaca ayat tertentu terhadap pesakit, kebiasaannya akibat perbuatan sihir atau gangguan jin.

Dalam video berkenaan, lelaki bergelar ustaz itu dilihat membacakan ayat-ayat ruqyah terhadap seorang pesakit yang duduk di kerusi, sambil disaksikan beberapa individu lain.

Pesakit berkenaan menghulurkan kedua-dua belah tangannya, ketika perawat itu membacakan beberapa potong ayat.

Asal dari binatang atau bukan

"Jika ada virus Covid-19 yang dipindahkan dari Hospital Sungai Buloh sama ada tangan kanan atau tangan kiri, turun, turun, turun," katanya sambil pesakit itu dilihat sukar menurunkan kedua-dua belah tangannya.

"Jika kamu (virus) berasal dari China gerak (tangan) sebelah kiri. Kalau bukan dari China bergerak ke kanan," katanya lagi sebelum pesakit itu menggerakkan tangannya yang kelihatan 'berat' ke sebelah kiri.

Kaedah sama digunakan untuk menyoal sama ada 'virus' itu berasal dari binatang atau sebaliknya, dan 'perawat' itu kemudian mendakwa ia bukan berpunca dari binatang.

Individu yang mendakwa pengasas sebuah akademi rawatan Islam itu kemudian dilihat membawa sebekas botol kosong.

Sambil berulang kali menyebut Allahuakbar, perawat itu kemudian 'menarik virus' pada kedua-dua belah tangan pesakit itu sebelum 'memasukkannya' ke botol berkenaan.

"Jika masih ada Covid-19 di tangan turun, turun," katanya disusuli pesakit berkenaan berjaya menurunkan tangannya perlahan-lahan.

Jual agama paling senang untung

Setakat malam tadi, salah satu rakaman video berkenaan dikongsikan lebih 1,000 orang dan mendapat komen daripada beratus yang lain.

"Jual agama paling senang untung," kata seorang pengguna Facebook.

"Elok hantar pakar ni ke hospital Sungai Buloh untuk membantu. Sebab yang dijangkiti makin meningkat," sindir seorang lagi pengguna media sosial.

Dalam satu hantaran lain, perawat itu memuat naik gambar sebuah buku bertajuk "Jin, Sihir dan Ruqyah Syariyyah" yang dikarang seorang pengamal perubatan Islam dari Indonesia bernama Musdar Bustamam Tambusai.

"Mengapa peruqyah tidak turun membantu menangani kes Covid-19. Ini jawapan kami yang diwakili tulisan Ustaz Musdar Bustamam Tambusai," tulisnya.

Antara lain, hantaran itu memetik kata-kata Musdar yang mengatakan bahawa kaedah ruqyah belum diakui oleh masyarakat dan pemerintah sebagai pencegahan kepada penyakit, mahupun sebagai kaedah penyembuhan.

"Jika ruqyah belum diakui oleh pemerintah, tentu para peruqyah diposisikan sebagai masyarakat awam yang tidak mengerti tentang penyakit dan obatnya," katanya memetik kenyataan Musdar.

Dukun menyamar jadi peruqyah

Bagaimanapun, Musdar sendiri menyangkal pendapat bahawa Covid-19 boleh disembuhkan menerusi kaedah ruqyah.

Beliau menjelaskan perkara itu melalui satu hantaran di Facebook bagi menjawab dakwaan individu berkenaan.

"Model ruqyah dengan cara menangkap jin, memenjarakan jin atau mengaku mampu menguasai jin dan sebagainya, bukan ciri ruqyah yang syar'i yang mengedepankan nilai dakwah.

"Jika prinsipnya seperti itu terhadap jin, maka terhadap gangguan yang lain juga sama. Misalnya, ketika melakukan ruqyah kepada pasien (pesakit) HIV, seorang peruqyah mengaku mampu menangkap virusnya, lalu membuangnya ke suatu tempat.

"Ini jelas bukan ruqyah tapi tepatnya dukun yang menyamar jadi peruqyah," kata Musdar.

Jika demikian kata Musdar, individu terbabit telah mendakwa dirinya mengetahui perkara ghaib, meskipun ghaib sifatnya tidak mutlak.

"Virus itu nyata tapi ghaib nisbi karena tidak dapat dilihat dengan mata telanjang. Orang yang mengklaim (mendakwa) dirinya mengetahui perkara ghoib, disebut dukun.

"Prinsip ruqyah harus sesuai syariah, logis dan terukur. Bukan bersifat klenik, irrasional atau supernatural yang cenderung aneh-aneh," katanya.

 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.