Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakej rangsangan Muhyiddin tak tepati keperluan PP

Adun PKR mendakwa pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak cukup bagi menampung keperluan Pulau Pinang.

Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung, berkata pakej itu perlu dikaji lagi bagi memastikan ia menjadi pakej yang holisitik, bukan hanya memanfaatkan sesetengah pihak sahaja.

“Pulau Pinang adalah negeri pembangkang dan sumber kita terhad. Diharapkan perdana menteri boleh melihat dengan melangkaui politik dan bersikap inklusif menyampaikan bantuan kewangan dalam masa seperti sekarang.

“Jadilah seperti Ketua Menteri (Pulau Pinang) Chow Kon Yeow, dia tidak teragak-agak menjemput ketua pembangkang Muhammad Yusuf Mohd Noor (BN-Sungai Dua) menyertai Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri bagi membincangkan bagaimana membanteras Covid-19 dengan lebih berkesan,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam satu kenyataan kemudiannya, Gooi berkata meskipun dia menyokong usaha bagi membantu semua “Mak Cik Kiah”, nasib “Ahmad, Ah Hock dan Muthu yang bekerja di kilang dan sektor swasta di Pulau Pinang” tetap tidak wajar dilupakan.

“Saya yakin Muhyiddin sedar, di Pulau Pinang, sektor perkilangan dan perkhidmatan - termasuk pelancongan jika digabungkan - menyumbang hampir 70 peratus tenaga kerja di Pulau Pinang dan menjadi daya penggerak di belakang aktiviti ekonomi negeri.

“Baki 20 peratus tenaga kerja berada di sektor kerajaan dan kira-kira 10 peratus bekerja di sektor lain seperti pertanian, perlombongan dan pembinaan,” tambahnya lagi.

Gooi merujuk perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyatakan semua perkhidmatan tidak penting diarahkan menutup operasi.

Senarai cadangan untuk PP 

Pelancong dari dalam dan luar negeri juga telah berhenti datang ke Pulau Pinang setelah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik.

Kata Gooi, lebih 600,000 orang pekerja di pelbagai sektor seperti perkilangan, kedai runcit, bengkel, hotel dan hartanah, berdepan risiko kehilangan pekerjaan atau pendapatan sekiranya perniagaan tersebut gagal, dan kesan ekonomi kepada mereka adalah “sangat memudaratkan”.

Tambahnya, pakej tersebut “jauh tidak cukup” untuk melindungi pekerjaan dan perniagaan kecil terutamanya di negeri seperti Pulau Pinang, yang banyak bergantung kepada sektor pembuatan, pelancongan dan sektor.

Katanya juga, subsidi gaji RM600 selama tiga bulan tidak mencukupi untuk membantu perniagaan bersaiz kecil dan sederhana di Pulau Pinang untuk membolehkan majikan terus menggaji pekerja apabila perniagaan tidak beroperasi dan tidak menghasilkan apa-apa pendapatan.

Dia kemudiannya menyenaraikan beberapa cadangan bagi menambah baik insentif berkenaan:

1. Syarat halangan yang memerlukan majikan menunjukkan bahawa pendapatan mereka menurun sebanyak 50 peratus untuk subsidi gaji harus dikeluarkan.

2. Subsidi gaji komprehensif mesti disasarkan untuk membantu semua yang terjejas semasa tempoh PKP dengan serta-merta, dan kemudiannya, membantu perniagaan menyesuaikan diri dan menjadi pulih.

3. Subsidi gaji tiga bulan perlu dilanjutkan untuk jangka masa yang lebih lama dan perlu ditingkatkan amaunnya dengan diselaraskan mengikut sektor-sektor yang paling banyak terjejas oleh PKP dan wabak tersebut.

4. Di Singapura, kerajaan menampung sehingga 75 peratus gaji bulanan pekerja bagi sektor yang paling terjejas sehingga akhir tahun ini.

5. Begitu juga, kerajaan perlu membantu membayar peratusan gaji bagi pekerja yang diminta bercuti tanpa gaji atau dipotong masa bekerja mereka, terutamanya dalam kilang kecil dan sederhana. Ini membantu mengelakkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran.

6. Kerajaan persekutuan harus mencontohi inisiatif kerajaan negeri Pulau Pinang menawarkan pinjaman tanpa faedah kepada PKS di bawah pakej rangsangan.

Sementara itu, Gooi berkata kerajaan perlu menjelaskan sumber bagi membiayai subsidi gaji RM600.

Semua pihak perlu dilindungi

“Mengikut maklumat yang diberikan kepada majikan, pembayaran akan dibuat oleh Perkeso (Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial). Adakah dana Perkeso digunakan untuk membiayai skim ini?” soalnya.

Selain itu, dia berpendapat tidak banyak syarikat kecil dan sederhana akan mengambil pelbagai pinjaman dengan kadar faedah yang ditawarkan apabila mereka tidak mempunyai pendapatan perniagaan sepanjang tempoh PKP.

Sebaliknya, kata Gooi, pinjaman harus diberikan untuk membantu perniagaan kecil membayar sewa, perbelanjaan keperluan dan gaji pekerja, seperti yang dilakukan di Amerika Syarikat apabila AS$350 bilion diperuntukkan untuk pinjaman tanpa faedah bagi tujuan sedemikian.

“[...] Pinjaman ini hanya perlu dibayar balik mengikut perkadaran kakitangan yang diberhentikan. Sebuah syarikat yang menyimpan semua pekerja mereka tidak berhutang apa-apa,” katanya lagi.

Gooi turut menggesa agar pekerja yang bekerja sendiri - dan yang dibayar secara kontrak atau harian - harus diberikan bantuan kewangan bulanan sehingga akhir tahun dan bukan bayaran tunai sekali sahaja.

“Pembayaran tunai sekali sahaja sebanyak RM1,600 dan RM1,000 bagi setiap isi rumah tidak cukup untuk membantu golongan ini untuk mengekalkan mata pencarian dan pekerjaan mereka.

“Mantra, dalam masa-masa terdesak memerlukan langkah-langkah terdesak mesti ditekan dengan lebih kuat semasa krisis ini,” katanya lagi.

Oleh hal yang demikian, dia menyatakan sokongan terhadap cadangan presiden PKR Anwar Ibrahim agar pakej rangsangan itu dibahaskan di Parlimen bagi memastikan semua pihak dilindungi dan dibantu kerajaan, bukan "Mak Cik Kiah" sahaja.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS