Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Operasi sanitasi tumpu Lembah Pantai, Petaling, JB, 3 daerah lain
Diterbitkan:  Mar 30, 2020 2:22 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Lembah Pantai, Petaling, Hulu Langat, Seremban, Johor Bahru dan Kluang hari ini akan diberi tumpuan dalam Operasi Sanitasi Covid-19.

Tempat tersebut merekodkan jumlah tertinggi kes positif wabak berkenaan.

Untuk rekod, Petaling mencatat 223 kes, Lembah Pantai 219 kes, Hulu Langat 209 kes, Seremban 108 kes, Johor Bahru 105 kes dan Kluang 97 kes.

Daerah Lembah Pantai yang dijalankan operasi sanitasi itu meliputi kawasan Bangsar dan Pantai Dalam.

Manakala, daerah Petaling pula termasuk kawasan di sekitar bandar Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya.

Operasi sanitasi turut dilakukan di masjid Al-Falah di Sungai Ramal Dalam, Kajang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin yang menyaksikan operasi tersebut di Kajang dan pasar awam Jalan Othman di Petaling Jaya, berkata kerja pembersihan itu diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Operasi tersebut turut dikendalikan bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Pelaksanaan kerja-kerja sanitasi awam akan dilaksanakan secara berfasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Zuraida, fasa pertama operasi tersebut akan dibuat dikawasan kes tinggi (zon merah) dan diikuti kawasan kes sederhana (zon jingga).

Kerja sanitasi turut melibatkan perabot jalan, kemudahan awam, pasar-pasar awam, laluan siar kaki, hab-hab pengangkutan awam dan lain-lain.

Tambahnya, ia juga bakal dilaksanakan di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berada di dalam kawasan zon merah.

“KPKT memohon supaya komuniti setempat di kawasan yang terlibat untuk memberi kerjasama agar pelaksanaan kerjakerja sanitasi awam ini dapat dijalankan dengan baik,” katanya.

Tambah Zuraida, bagi premis-premis persendirian, kerja-kerja sanitasi perlu dilaksanakan oleh pemilik dengan tanggungan sendiri.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan 2,470 kes Covid-19, dengan 35 kematian.

Lihat Komen
ADS