Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K’jaan tetapkan penutup muka paling mahal RM1.50 sekeping
Diterbitkan:  Mar 30, 2020 2:57 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Kerajaan bersetuju untuk menetapkan harga siling penutup mulut dan hidung tiga lapis dijual pada harga tidak melebihi RM1.50 sekeping.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga adalah Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), seperti yang diarahkan kerajaan sebelum ini.

"Pagi tadi kita (Majlis Keselamatan Negara) membincangkan perkara ini dan kita dapati bahawa topeng muka tidak banyak dikeluarkan dari dalam negara dan kebanyakkannya diimport dari luar negara.

"Jadi, kita juga terikat dengan harga yang diimport tadi. Oleh itu mesyuarat bersetuju harga topeng muka adalah RM1.50. Iaitu 0.50 sen lebih murah daripada harga yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu RM2," katanya dalam sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Sebelum pandemik Covid-19 menular, harga penutup mulut di pasaran hanyalah 80 sen sekeping. Ia kemudiannya dinaikkan kepada RM2 sekeping oleh KPDNHEP dengan alasan peningkatan kos pengeluaran.

Ismail Sabri berkata pihaknya juga akan terus mengkaji harga siling topeng muka dari semasa ke semasa.

"Kita akan terus mengkaji dari masa ke semasa harga tersebut. Jika didapati harga yang dibeli sudah pun menurun kita mungkin akan tengok balik dan umumkan semula harga yang baru," katanya.

Menurut Ismail Sabri, selain penutup mulut, kerajaan juga akan melihat kedudukan harga dan bekalan produk keperluan pengguna bagi tujuan penjagaan kesihatan seperti cecair pembasmi kuman.

Walau bagaimanapun, katanya, situasi harga barangan cecair pembasmi kuman berbeza dengan situasi harga penutup hidung dan mulut memandangkan barangan berkenaan mempunyai jenama yang berbeza-beza.

"Setakat ini tidak ada (harga siling bagi cecair pembasmi kuman), kerana ada jenama yang berbeza.

"Jadi kita tidak menetapkan harga siling bagi bekalan tersebut. Tetapi kita akan bincang dengan KPDNHEP jika ada keperluan," katanya.

Lihat Komen
ADS