Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan perlu fikir apakah rancangan seterusnya, kata Najib
Diterbitkan:  Mar 31, 2020 5:39 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

Kerajaan perlu memastikan dapat menyelesaikan masalah penularan wabak Covid-19 dalam kadar segera bagi mengelak ia memberi kesan lebih besar terhadap kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Bekas perdana menteri Najib Razak, berkata kerajaan perlu menilai tindakan yang diambil sebelum ini selepas dua minggu perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan adakah benar-benar berkesan.

"Kerajaan perlu memikirkan adakah apa yang dilakukan setakat ini berkesan, adakan ianya cukup, apakah rancangan seterusnya.

"Jika anda mahukan hasil yang berbeza anda mesti cuba cara dan pendekatan berbeza.

"Kita perlu cepat, masalah kita bukan setakat Covid -19, lebih lama virus ini berterusan, lebih besar kesannya terhadap kehidupan rakyat dan ekonomi kita," katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

PKP yang dijadualkan bermula pada 18 Mac lalu dan berakhir hari ini dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Malah, kerajaan juga turut melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa zon merah wabak Covid-19.

Malah, kerajaan juga turut memperketatkan lagi PKP apabila menghadkan waktu operasi urusan pejabat dan perniagaan dihadkan sehingga jam 8 malam bermula esok.

Bagi memastikan ekonomi negara terus kekal rancak ketika berdepan situasi sukar ini, perdana menteri Jumaat lalu telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion.

Resah, sedih, hilang punca pendapatan

Sebelum ini, Najib turut mencadangkan supaya kerajaan mengikut jejak Korea Selatan melakukan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran.

Dalam pada itu Najib berkata, selepas mengharungi dua minggu, jumlah pesakit Covid-19 terus meningkat, bagaimanapun jumlah yang sembuh juga ramai.

Jelasnya, Najib dalam tempoh dua minggu telah berlalu ada rakyat yang resah dan sedih termasuk mereka yang hilang punca pendapatan.

"Sedar tak sedar dua minggu sudah berlalu, dalam kita duduk di rumah ada yang sedih, resah atas sebab tertentu, hilang pendapatan, tiada makanan ada yang hilang mata pencarian.

"Namun apa yang paling menyedihkan bagi saya apabila ada antara kita melihat air mata ahli keluarga masing-masing," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS