Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakyat Malaysia antara peserta himpunan tabligh di India
Diterbitkan:  Mar 31, 2020 9:14 PM
Dikemaskini: 1:44 PM

Sekurang-kurangnya 20 rakyat Malaysia didapati menghadiri perhimpunan tabligh antarabangsa awal bulan ini di New Delhi, India,.

Perhimpunan itu sebelum ini dilaporkan mencetuskan beberapa kluster jangkitan Covid-19 baru di negara berkenaan.

Times of India melaporkan bahawa sejak dua hari lalu polis India mendapati 281 warga asing, termasuk 20 rakyat Malaysia, yang tinggal di ibu pejabat gerakan Tablighi Jamaat di kawasan kejiranan Nizamuddin New Delhi.

Menurut laporan itu, peserta warga asing dari 16 negara - termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand - merupakan antara sebahagian kecil daripada anggaran 8,000 peserta keseluruhan untuk perhimpunan yang berlangsung selama dua hari dari 8 hingga 10 Mac.

Dari keseluruhan jumlah peserta itu, dilaporkan bahawa 30 peserta setakat ini positif Covid-19 dan sekurang-kurangnya tiga kematian dikaitkan dengan kluster perhimpunan itu.

Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri India yang tidak dinamakan dipetik sebagai berkata bahawa kebanyakan warga asing berkenaan kemungkinan disenarai hitam dari memasuki negara itu selepas ini.

"Mereka yang datang dengan visa pelancong tetapi menghadiri acara di Nizamuddin boleh disenarai hitam kerana mereka telah melanggar syarat visa.

"Pemegang visa pelancong tidak boleh menghadiri program keagamaan," kata pegawai itu seperti dilaporkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata kementerian sedang menyiasat perhimpunan tabligh di India serta perhimpunan seumpamanya yang diadakan di Sulawesi, Indonesia, awal bulan ini.

"Kami menyiasat bukan sahaja di India tetapi juga Sulawesi.

"Kami dengar ada perhimpunan besar [...] jadi risiko tinggi jika mereka menghadirinya," kata Noor Hisham kepada pemberita semasa sidang akhbar di Kementerian Kesihatan di Putrajaya.

"Kami sedang cuba mendapatkan lebih banyak maklumat daripada rakan sejawatan kami di India," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
Lihat Komen
ADS