Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Majlis Dakwah cadang tarawih di rumah jika Covid-19 tak tamat
Diterbitkan:  Apr 1, 2020 1:46 PM
Dikemaskini: 5:46 AM

Majlis Dakwah Negara mencadangkan umat Islam supaya menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di rumah masing-masing Ramadan nanti, sekiranya wabak Covid-19 masih belum berakhir.

Pengerusinya, Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata solat tarawih di rumah adalah amalan yang dilakukan oleh para sahabat Nabi Muhammad SAW.

"Untuk berpuasa tiada ada masalah kalau sekiranya wabak ini belum berakhir, tetapi untuk bertarawih tentu ada sedikit sebanyak masalah kerana kita (umat Islam) biasanya bertarwaih secara beramai-ramai, sama ada di masjid atau surau.

"Oleh kerana itu saya ingin mencadangkan kepada semua umat Islam di negara ini agar menerima alternatif agar bersolat tarawih di rumah sama ada secara berseorangan atau bersama keluarga.

"Sesungguhnya bersolat tarawih di rumah sendiri bukan di masjid sebenarnya adalah amalan bagi para sahabat Rasulluah SAW," katanya dalam satu rakaman suara di siarkan di Facebooknya, hari ini.

Malaysia melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Pada asalnya, PKP dijadualkan akan berakhir semalam, namun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelanjutan PKP sehingga 14 April nanti.

Bagi merancakkan ekonomi ketika situasi sukar ini, kerajaan juga turut mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion.

Ekoran penularan wabak covid dan PKP yang dilaksanakan Kerajaan, beberapa negeri telah membuat keputusan untuk tidak mengadakan bazar Ramadan.

Semalam Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob meminta orang ramai supaya patuh kepada PKP jika mahu menyambut Aidiltifri seperti biasa.

Ia bagi membolehkan PKP tidak dilanjutkan sehingga bulan Ramadan yang akan tiba pada 24 April nanti.

Lihat Komen
ADS