Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Rakyat Malaysia hadir himpunan tabligh di India positif Covid-19'
Diterbitkan:  Apr 1, 2020 4:05 PM
Dikemaskini: 1:19 PM

Seorang wanita warganegara Malaysia berusia 22 tahun, yang menyertai perhimpunan tabligh antarabangsa di Delhi, India positif Covid-19, lapor Times of India.

Laporan itu menyatakan bahawa wanita berkenaan adalah antara 20 warga asing yang diuiji positif dalam tempoh 10 hari lalu.

Wanita itu kini sedang menjalani rawatan di Institut Sains Perubatan Rajendra di Jiharkand dan merupakan kes pertama Covid-19 negeri berkenaan.

Wanita berkenaan menaiki kereta api ke ibu kota Ranchi Jiharkand dari Delhi pada 17 Mac.

"... Perintah berkurung telah dikenakan di kawasan Hindpiri yang padat penduduk di Ranchi di mana wanita itu tinggal di kediaman peribadi berhampiran masjid selama beberapa hari.

"Lebih 10,000 penduduk di kawasan itu disaring," kata laporan itu lagi.

Menurut polis India, kumpulan yang disertai wanita itu adalah sebahagian daripada warga asing yang tidak melaporkan ketibaannya seperti yang ditetapkan.

Pihak berkuasa India telah kuarantin lebih daripada 250 warga asing, yang menghadiri program berkenaan.

Di Tamil Nadu, Times of India melaporkan bahawa lebih daripada 60 warga asing dari Indonesia, Thailand, Malaysia dan Kyrgystan ditahan selepas menghadiri perhimpunan tabligh di Delhi.

"Sekurang-kurangnya enam daripada mereka, termasuk empat warga Indonesia, telah diuji positif. Kesemua mereka berada di wad pengasingan di hospital kerajaan di Salem.

"Sekurang-kurangnya 156 orang yang bersentuhan dengan mereka telah dikuarantin. Secara keseluruhannya, 74 orang peserta yang menghadiri program di Delhi tiba di negeri ini sejak Disember.

"Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya 12 daripada mereka sudah pulang sebelum perintah berkurung diisytiharkan," tambahnya.

Laporan itu juga mengatakan bahawa warga asing berkenaan juga telah ditempatkan di bawah pengawasan di Karnataka, Madhya Pradesh, Telangana, Maharashtra, Bengal dan Haryana.

Di Madhya Pradesh, kerajaan negeri mengenal pasti sekurang-kurangnya 20 orang dari Malaysia dan Indonesia yang menghadiri perhimpunan di Delhi.

"Warga asing datang ke India pada minggu kedua bulan Mac, sebelum sekatan perjalanan susulan Covid-19 dikuatkuasakan. Pegawai telah mendapati bahawa mereka tinggal di dua masjid di kawasan Bagh Farhat Afza di Bhopal," lapor Times of India.

Selain daripada rakyat Malaysia, Indonesia dan Bangladesh, peserta lain yang menghadiri perhimpunan itu, yang diadakan dalam tempoh yang berbeza bulan lepas, berasal dari Tanzania, Brunei, Iran, Ghana, Mauritius, Ivory Coast, Thailand, Kyrgyzstan, Afrika Selatan, Gambia, UK, Perancis, Filipina, Sri Lanka, Nepal dan Kenya.

Sebelum ini, Times of India melaporkan bahawa pihak berkuasa telah mengenal pasti bahawa sekurang-kurangnya 20 rakyat Malaysia menghadiri perhimpunan tersebut.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah, berkata kakitangannya bekerjasama dengan polis untuk mengesan 87 ahli tabligh warga Malaysia yang pulang dari Sulawesi, Indonesia.

Perhimpunan yang hampir serupa di Sri Petaling, Kuala Lumpur pada Februari lalu menjadi kluster jangkitan Covid-19 terbesar di Malaysia.

Setakat semalam, 2,766 kes Covid-19 dilaporkan di Malaysia dengan dan 43 melibatkan kematian.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS