Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menafikan laporan media berhubung ketetapan untuk meneruskan pelaksanaan bazar Ramadan ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19.

Jelas Annuar, pihaknya belum membuat keputusan sama ada untuk mengadakan bazar Ramadan ataupun tidak buat warga kota.

Menurutnya, beliau akan mendengar taklimat daripada pihak berkuasa tempatan Jumaat ini, sebelum membuat keputusan mengenainya.

"Saya nak terangkan sekali lagi, pertama belum ada keputusan kononnya bazar Ramadan diteruskan, saya ulang tidak ada dan belum ada keputusan yang sedemikian.

"Yang kedua saya sudah kata, saya hendak dengar dulu taklimat daripada penguasa tempatan di Wilayah Persekutuan. Apakah yang mereka rancangan, kita perlu dengar dulu daripada pentadbiran, daripada pengurusan.

"Tidak ada keputusan sama ada hendak buat ataupun tidak buat (bazar Ramadan) setakat ini," katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Dua hari lalu, dalam sidang mediannya, Annuar berkata prosedur operasi piawai (SOP) yang baru akan diperkenalkan sekiranya bazar Ramadan dibuka di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, meskipun selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir, orang ramai dijangka tidak boleh terus bebas untuk berhimpun seperti biasa.

"Kita kena fikir pasca selepas 14 April, bukan bermakna boleh terus jadi bebas, terus boleh berhimpun.

"Malah kita terpaksa mengkaji bagaimana cara mengendalikan bazar Ramadan kalau nak buat, di sesetengah tempat tak buat langsung," kata Annuar.

Semalam, media melaporkan persoalan sama ada bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan akan dibenarkan beroperasi atau tidak memandangkan penularan pandemik Covid-19 akan dilakukan sedikit masa lagi.

"Saya tidak mahu oleh kerana Singapura atau pihak-pihak lain mengumumkan tiada bazar (Ramadan) pada tahun ini maka kita pun cakap tidak ada," kata Annuar yang dipetik Bernama.

Sementara itu, dalam situasi negara kini yang berdepan wabak Covid-19, sebarang keputusan mengenai perkara itu akan mengambil kira pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM)

Oleh itu, Annuar minta pihak tertentu supaya tidak mempolitikkan isu ini kerana keputusan mengenainya belum dibuat.

"Sekarang pengurusan soal wabak, ini bencana, dalam konteks ada bencana, Nadma di bawah MKN adalah pihak mesti kita dengari dan oleh kerana membabitkan kesihatan maka sudah pasti KKM.

"Jadi, nak bincang bazar Ramadan dalam konteks Covid-19 wajib kita ikut garis panduan, nasihat, SOP MKN dan KKM," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS