Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih gesa ahli politik henti tampal muka pada barang bantuan
Diterbitkan:  Apr 1, 2020 4:49 PM
Dikemaskini: 1:32 PM

KORONAVIRUS l Kumpulan pendesak pembaharuan sistem pilihan raya, Bersih bimbang dengan tindakan beberapa ahli politik yang menampal gambar wajah mereka pada barang-barang bantuan Covid-19.

"Bersih menyatakan kebimbangan mengenai wajah dan nama ahli politik yang dipaparkan pada barang hadiah Covid-19 untuk penduduk seperti beras dan cecair nyahkuman, kerana ada yang mungkin melibatkan penyalahgunaan dana kerajaan.

"Kami menyeru semua wakil yang terlibat untuk menyatakan secara terbuka kos dan sumber hadiah tersebut.

"Sekiranya dana kerajaan disalahgunakan untuk ahli politik untuk mendapatkan penghargaan, ia mungkin jatuh di bawah siasatan SPRM di bawah Seksyen 23 Akta SPRM," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bersih menyenaraikan 19 contoh kes wajah ahli politik ditampal pada paket beras, pembersih tangan dan pakej hadiah.

Wajah ahli politik yang terlibat termasuk pemimpin seperti Annuar Musa (Umno), Saifuddin Abdullah (Bersatu), Ikmal Hihsam Abdul Aziz (PAS), Mukhriz Mahathir (Bersatu), Wan Rosdy Wan Ismail (Umno), S Veerapan (DAP) , Ismail Sabri Yaakob (Umno), Noraini Ahmad (Umno).

Pemimpin lain termasuk R Summugam (PKR), Najwan Halimi (PKR), Nga Kor Ming (DAP), Khalid Samad (Amanah), Syed Saddiq Abdul Rahman (Bersatu), Hannah Yeoh (DAP) Fadzil (PKR), Chan Ming Kai (PKR) dan Young Syefura Othman (DAP).

"Dalam kes-kes yang paling jelas, dua menteri persekutuan (Annuar Musa, Saifuddin Abdullah), seorang timbalan menteri persekutuan (Ikmal Hisham) dan seorang exco negeri (S Veerapan) mempunyai wajah dan / atau nama mereka di dalam pek hadiah, kedua-duanya atas kapasiti mereka sebagai menteri persekutuan/negeri dan wakil kawasan.

"Kes yang tidak jelas, menteri besar Mukhriz Mahathir dan Wan Rosdy Wan Ismail, memberikan hadiah yang dicetak dengan potret mereka atas nama kerajaan negeri mereka.

"Sekiranya hadiah itu melibatkan dana untuk negari tetapi hanya diberikan kepada kawasan pilihan mereka sendiri atau penerima yang dipilih secara peribadi berkaitan dengan mereka, dan bukan untuk semua penerima yang berkelayakan di seluruh negeri, mereka juga perlu disiasat kerana penyalahgunaan kuasa," katanya.

Bersih menambah jika pemimpin membiayai bantuan berkenaan daripada dana kawasan mereka dan mengedarkannya dalam kapasiti itu, maka ia tidak salah di sisi undang-undang.

Begitu juga, jika mereka telah membayar dari duit poket mereka sendiri, maka itu juga bukan isu.

"Tidak menyalahi undang-undang bagi ahli politik untuk mendapatkan pengiktirafan nama selepas menggunakan wang mereka sendiri untuk membantu penduduk mereka.

"Bagaimanapun, ini tetap menggalakkan klientelisme dan menghakis demokrasi.

"Penyelesaian muktamad adalah pertama, untuk mempunyai agensi-agensi kerajaan yang profesional, tidak berpihak dan responsif bagi menyediakan keperluan bagi penduduk tempatan untuk pembangunan dan bantuan tempatan; kedua, masyarakat sivil yang kuat untuk membolehkan anggota masyarakat menyokong satu sama lain," katanya.

Bersih menggesa ahli-ahli politik untuk berhenti mengiklankan gambar dan nama mereka pada barangan bantuan dan mendedahkan perbelanjaan dan sumber barangan bantuan.

Ia juga menyeru mekanisme pengawasan yang ketat diperkenalkan selain melonggarkan sekatan ke atas NGO yang melakukan kerja-kerja bantuan krisis Covid-19.

Lihat Komen
ADS