Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM tawar kontrak 6 bulan bagi khidmat doktor, jururawat

Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berusaha mendapatkan khidmat pengamal penjagaan kesihatan swasta untuk menyertai pasukan barisan depan dalam menghadapi wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu pemberita hari ini bahawa mereka merancang menawarkan enam bulan kontrak pekerjaan kepada doktor dan jururawat yang berminat untuk membantu negara menangani pandemik berkenaan.

"KKM sedang berbincang dengan agensi pusat dalam memperhalus mekanisme pengambilan berdasarkan kontrak untuk profesional perubatan yang berhasrat berkhidmat dengan kementerian semasa wabak Covid-19," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya.

Menurutnya, kementerian sedang mencari pakar swasta, serta pegawai perubatan dan jururawat untuk mengisi jawatan berkenaan.

"Pakar perubatan swasta yang sanggup membantu KKM selama enam bulan adalah dialu-alukan untuk mengambil tawaran itu.

"(Sama juga) bagi pegawai perubatan dan jururawat, seperti yang disebutkan sebelum ini," katanya.

Sebelum ini, Noor Hisham telah mengumumkan bahawa KKM sedang meneliti semula senarai doktor dan jururawat bersara yang mahu menjadi sukarelawan untuk membantu KKM.

Hari ini, beliau berkata kementerian telah merekrut 2,359 sukarelawan setakat ini. Mereka terdiri daripada 64 pakar perubatan dalam pelbagai bidang, 159 pegawai perubatan, 909 jururawat, 220 juruteknik makmal, 704 penolong pegawai perubatan, 106 juruteknik sinar-X, 56 pakar fisioterapi, 70 pegawai sains (mikrobiologi), tujuh ahli farmasi, 44 penolong ahli farmasi dan pegawai kesihatan, dua ahli psikologi dan enam kaunselor.

"KKM sangat menghargai khidmat sukarelawan kesihatan dan perubatan dari pelbagai peringkat dan profesion dalam memerangi Covid-19," katanya.

Beliau juga meminta lebih ramai akan tampil dan mendaftar sebagai sukarelawan menggunakan borang yang terdapat di laman Facebook rasmi KKM.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS