Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Sebahagian besar gelandangan kini tidak lagi perlu 'tidur berbumbungkan langit' selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membawa mereka ke pusat petempatan sementara di beberapa lokasi di ibu negara.

Hal ini selaras dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 di kalangan golongan kurang bernasib baik itu.

Pusat Komuniti Sentul Perdana menempatkan 181 gelandangan iaitu 161 lelaki dan 20 wanita. Lelaki ditempatkan di tingkat bawah manakala wanita berada di tingkat atas bangunan dua tingkat itu.

Berbanding masyarakat di luar yang mempunyai akses kepada internet dan pelbagai hiburan, dan ditemani oleh keluarga, golongan ini hanya boleh duduk di dalam bangunan dan menunggu makanan yang dibekal setiap hari.  

Mereka dilarang keluar dari bangunan tersebut dan dibekalkan dengan kemudahan asas seperti bantal, tilam, tuala, sabun dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, tinjauan Malaysiakini mendapati bukan semua penghuni di sini tidak mempunyai kediaman atau golongan 'kutu rayau' di bandar.

Sebahagian mereka kehilangan mata pencarian kerana penutupan tempat kerja di bawah PKP dan terpaksa bergantung kepada makanan percuma agihan badan bukan kerajaan (NGO).

Terdapat gelandangan yang memberitahu, mereka dibawa ke pusat tersebut ketika sedang beratur mengambil makanan percuma apabila DBKL menjalankan operasi menyelamatkan golongan tiada tempat berteduh itu.

Sazali Sabri yang berasal dari Sarawak ialah salah seorang individu yang 'diangkut DBKL' ke petempatan sementara gelandangan.

“Sebab ada kuarantin ini (PKP), kedai makan boss saya tutup maka saya tiada gaji.

“Saya terpaksa pergi Medan Tuanku ambil makanan percuma,” katanya kepada Malaysiakini.

Sehelai sepinggang

Pembantu kedai makan yang berusia 39 tahun tersebut mengeluh, kebetulan pada Isnin lalu (30 Mac) beliau terserempak dengan operasi DBKL maka terus dibawa ke pusat komuniti.

“Sudah dekat sini tiga hari, bosan. Sampai saya sakit kepala, apa pun tak boleh buat.

“Kami semua sini memang sehelai-sepinggang, tidak ada baju lain yang bawa,” tambahnya.

Ketika waktu makan tengah hari semalam, wartawan Malaysiakini sempat menyaksikan semua penghuni di pusat petempatan sementara gelandangan ini beratur dan mengambil makanan. Tidak sampai sepuluh minit, mereka sudah selesai menghabiskan makanan.

Shamsudin Abdul Rahman 45 tahun, berkata dirinya seorang pekerja penyelenggaraan yang tinggal di Jinjang, namun mengalami nasib yang hampir sama dengan Sazali apabila di bawa ke situ.

Dia mengadu mengenai makanan yang dibekal terlalu sedikit dan tidak mengenyangkan.

“Kalau boleh saya nak minta dua nasi. Semua sayur saja, nasi pun kurang. Sekejap sudah lapar,” katanya.

'Dikurung lagi'

Beberapa orang yang berada di sebelahnya menganggukkan kepala seakan membenarkan kata-katanya. Menurut mereka, walaupun sajian dibekal tiga kali sehari namun kuantitinya terlalu sedikit.

“Tempat sini banyak yang terhad, dia terpaksa mengadu sini sana,” kata Sazali yang bersetuju dengan kenyataan Shamsudin.

Lain pula halnya buat Mohd Rafee Ahmad Mokhtar yang perlu 'dikurung' sekali lagi selepas bebas dari menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 17 Mac lalu.

Bekas banduan yang berusia 44 tahun ini berkata pada asal dia bercadang pulang ke kampung di Sungai Siput, Perak untuk berjumpa dengan isteri dan anaknya setelah hampir setahun dipenjarakan.

Bagaimanapun kerana kekurangan wang dan tiada telefon bimbit, Rafee terdampar sementara di sekitar Puduraya untuk mencari peluang dan rezeki.

“Isnin lalu saya duduk di tepi jalan dan berehat. Tiba-tiba saya pun dibawa ke sini.

“Di sini apa pun tak boleh nak buat, hand set pun tidak ada. Nak duduk di bawah pokok luar sana pun tidak boleh.

“Kalau ada surat khabar okay sikit, sekurang-kurangnya boleh tahu apa yang berlaku,” katanya.

Lepak tepi tangga

Bagi gelandangan wanita di Pusat Komuniti Sentul Perdana ini, mereka ada "tempat lepak” sendiri, laluan anak tangga di luar bilik.

Yati Hasan dan beberapa temannya duduk di atas tangga selepas makan tengah hari.

Dia berasal dari Indonesia dan kini sudah berumur 62 tahun.

“Sinilah tempat lepak kami,” katanya bergurau sambil memandang padang yang berada di luar bangunan.

“Saya duduk dan kerja sambilan di Puchong. Saya pun tidak sangka, sebaik saya hantar duit balik ke kampung di Jawa Timur, benda ini berlaku pula.

“Sekarang semua duit sudah hantar balik, kerja tidak ada. Memang sehelai-sepinggang, nak tukar baju pun tiada,” kata Yati.

Norshania Musa yang berusia 34 tahun turut setuju dengan Yati mengadu tiada pakaian.

“Nak buat macam mana, boleh mandi je lah. Nasib baik ada tuala lagi.

“Sini tiada benda boleh buat, teringin nak baca surat khabar. Sudah lama tidak tahu apa yang berlaku di luar sana,” kata Norshania yang sebelum ini tidur berlantaikan simen di sekitar kompleks beli-belah Kota Raya.

Walau bagaimanapun, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Nor Iz Hayza Mohd Zam berkata, pihak NGO sebenarnya membekal makanan enam kali sehari dan bilangan makanan adalah bergantung kepada kemampuan NGO masing-masing.

Pihaknya kini sedang berusaha dan merancang pelan yang lebih menyeluruh kepada penghuni di pusat komuniti bagi menambah baik keadaan, jelas Nor Iz Hayza ketika dihubungi oleh Malaysiakini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur menyantuni gelandangan di pusat petempatan sementara.

Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan memaklumkan kira-kira 510 gelandangan diselamat dan ditempatkan di dua pusat transit dan empat pusat komuniti yang dijadikan penempatan sementara di sekitar ibu kota sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini.

“Kami akan terus menjejaki dan menyelamatkan mereka di sekitar ibu kota dan ditempatkan sementara di pusat-pusat komuniti itu sepanjang PKP.

“Ada lagi yang masih menyorok,” katanya.

Nor Hisham berkata, sebelum ditempatkan di penempatan sementara itu, warga gelandangan akan menjalani saringan kesihatan untuk memastikan mereka bebas dari Covid-19. 

Tiada kes positif dalam kalangan gelandangan dilaporkan setakat ini.

Selain Pusat Komuniti Sentul Perdana, Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang dan Anjung Singgah, Pusat Komuniti Setiawangsa, Dewan Serbaguna Alam Damai Cheras dan Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir turut dijadikan penempatan sementara gelandangan terbabit.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS