Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO, kesatuan sekerja gesa Covid-19 ditakrif penyakit pekerjaan
Diterbitkan:  Apr 2, 2020 12:51 PM
Dikemaskini: 5:45 AM

Sejumlah 47 kumpulan aktivis dan kesatuan sekerja menggesa kerajaan mengisytiharkan wabak Covid-19 sebagai penyakit pekerjaan - iaitu penyakit yang disebabkan pekerjaan atau diperolehi di tempat kerja - di bawah undang-undang.

Mereka berkata ia agar pekerja yang dijangkiti Covid-19 di tempat kerja mereka, malah ketika tempoh penularannya, akan mendapat perlindungan sosial yang diperuntukkan skim keselamatan sosial dan undang-undang.

"Mereka yang meninggal dunia akibat mendapat Covid-19 di tempat kerja akan berhak ke atas pampasan, dan pasangan, anak atau ibu bapa mereka yang telah berusia juga berhak mendapat manfaat (waris) termasuk pencen," kata mereka.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE).

Ia juga ditandantangani antara lain oleh Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Alat-Alat Pengangkutan Dan Sekutu, Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Perkayuan Sarawak, Kesatuan Pegawai-Pegawai Hutan Melayu Semenanjung Malaysia dan Persatuan Sahabat Wanita Selangor.

Mereka berkata, majikan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan persekitaran kerja yang selamat, dan ia termasuklah daripada wabak Covid-19 dan penyakit berjangkit yang lain, terutama yang boleh menyebabkan kematian atau kecacatan kekal.

Mereka menyeru Menteri Sumber Manusia M Saravanan untuk menggunakan kuasa yang diperuntukkan mengikut Sebseksyen 32(2) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan mengisytiharkan Covid-19 sebagai penyakit pekerjaan.

Menurut mereka, walaupun dengan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan, pekerja dalam sektor perkhidmatan penting masih terdedah dengan risiko jangkitan.

"Pada masa ini pekerja Sumber Manusia juga perlu ke tempat kerja untuk mengaturkan gaji bulanan pekerja.

"Pekerja yang perlu tinggal di kediaman tertentu yang disediakan majikan, juga perlu dilindungi.

"Pandemik Covid-19 menunjukkan kekurangan dalam undang-undang kesihatan dan keselamatan pekerjaan, dan juga undang-undang keselamatan sosial untuk pekerja. Ini masanya untuk memperbaiki keadaan," kata mereka.

Pada masa lalu, dakwa mereka, pekerja terpaksa tinggal di tempat sama dan bekerja bersama, dan ia mengakibatkan ada yang mendapat penyakit bahaya seperti batuk kering.

Mereka juga menggesa undang-undang itu terpakai kepada semua, termasuk pekerja asing dan pembantu rumah.

Di Malaysia, pekerja tempatan secara umumnya tertakluk di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, yang memberikan perlindungan lebih baik berbanding pekerja asing yang tertakluk di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952.

Setakat ini, sejumlah 2,908 kes Covid-19 di Malaysia dengan 45 kematian.

Di seluruh dunia pula, lebih 47,000 orang telah terkorban akibat wabak itu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS