Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Gari buat doktor, mikrofon buat menteri dan penjara buat remaja

ULASAN l Kumpulan NGO Eliminating Deaths and Abuse in Custody Together (Edict) ingin menyuarakan kebimbangan mengenai ketidakseimbangan layanan yang diberikan oleh pihak berkuasa terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan , Zuraida Kamarudin berbanding Dr Ong Hean Teik, seorang pakar kardiologi di Pulau Pinang.

Satu rakaman video yang tersebar menunjukkan Zuraida menggunakan sistem pembesar suara untuk bercakap di hadapan khalayak ramai secara terbuka di sebuah pasar di Petaling Jaya.

Video itu juga menunjukkan beliau di dalam sut (pakaian) hazmatnya sedang menyembur cecair penyahjangkit di jalan raya.

Beliau mendakwa bahawa menyembur cecair penyahjangkit dapat mengurangkan risiko terkena jangkitan Covid-19. Kami beranggapan kementeriannya menanggung kos bagi operasi tersebut, walaupun kemungkinan beliau akan mendapatkan “penderma” untuk membayar kos tersebut.

Pengamal perubatan dan golongan profesional telahpun mengkritik tindakannya itu berdasarkan dua sebab utama:

• Pertama, penyemburan disinfektan seperti itu tidak berkesan.

• Kedua, sut itu sukar untuk didapati sekarang dan sangat-sangat diperlukan oleh para pekerja barisan hadapan di hospital.

• Edict ingin menekankan sebab ketiga: Zuraida, seorang yang bukan pakar dalam hal ini, bercakap dihadapan himpunan orang yang ramai, yang mana video dan portal berita telah melaporkan bahawa himpunan tersebut antaranya terdiri daripada orang awam. Dengan penyertaan yang ramai sedemikian, beliau telah melanggar perintah kawalan pergerakan ini.

Tiada rasa kesal

Lebih teruk, beliau langsung tidak menyatakan rasa kesal akibat tindakannya itu. Mungkin beliau terinspirasi dengan laporan-laporan berita mengenai kerja-kerja penyemburan cecair penyahjangkit di negara-negara lain.

Zuraida mempertahankan tindakannya itu sebagai satu tindakan yang baik.

Dalam kenyataan kami semalam, kami telah menggesa kabinet, diketuai oleh perdana menteri, untuk mengecam tindakan Zuraida.

Hari ini, kami ingin membuat satu perbandingan antara tindakan Zuraida tersebut dan kes seorang pakar kardiologi, Dr Ong Hean Teik, yang telah didakwa di mahkamah kerana melanggar PKP.

Dr Ong telah didakwa kerana tidak duduk di rumah.

Dr Ong malah didakwa dibawah Kanun Prosedur Jenayah kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas walaupun video menunjukkan beliau tidak langsung mengeluarkan kata-kata kesat atau bertindak ganas.

Selepas kelakuannya itu tersebar, beliau tidak ditahan. Beliau pulang ke rumah. Namun, 11 hari selepas itu, pada 30 Mac, beliau didakwa. Satu laporan berita menunjukkan beliau telah digari, melangkah keluar dari sebuah kereta polis di luar mahkamah.

Apa yang lebih teruk ialah, denda maksimum bagi kes melanggar PKP ialah RM 1,000 dan denda maksimum untuk kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas ialah RM 10,000. Jumlah kesemuanya adalah RM11,000.

Majistret pula menetapkan RM 13,000 sebagai ikat jamin, lebih tinggi daripada denda maksimum, itupun sekiranya Dr Ong didapati bersalah!

Kerana kelaparan

Semalam, satu laporan berita dengan tajuk yang jelas dengan sendirinya; “Tak mampu bayar ikat jamin RM 800, remaja kini ditahan di penjara ketika keluar mahu beli Maggi.”

Remaja itu dikenali sebagai Man, berusia 18 tahun, dan adalah pelajar tingkatan enam di Kelantan. Beliau kini ditahan di penjara Marang bersama 16 yang lain kerana dikatakan melanggar PKP.

Kesimpulannya, pada hari kedua PKP, seorang pakar perubatan tidak bersetuju dengan dua orang pegawai penguatkuasa tentang penafsiran PKP. 11 hari kemudian, beliau digari, didakwa di mahkamah dan terpaksa membayar wang ikat jamin sebanyak RM 13,000.

Masih bebas

Pada hari ke-12 PKP, seorang menteri melancarkan “operasi disinfeksi” dikutuk oleh para pengamal perubatan sebagai satu pembaziran dan dibuat dalam satu himpunan awam. Beliau mempertahankan tindakannya!

Beliau masih bebas.

Pada hari ke-15 PKP, seorang pelajar tingkatan enam berusia 18 tahun, dipenjara hanya kerana beliau kelaparan dan keluar rumah untuk membeli Maggi pada waktu malam.

Edict menggesa kerajaan dan institusi awam seperti pihak berkuasa tempatan, polis dan badan kehakiman untuk mengambil serius mengenai layanan tidak adil dan saksama ke atas tiga kumpulan berbeza ini.

Ambil pengajaran daripada kes-kes ini. Hentikan perkara sebegini. Hormati prinsip perundangan. Tunjukkan rasa belas kasihan.

Zuraida mesti dikecam oleh kabinet.

Sepertimana tindakan yang diambil terhadap Dr Ong, pihak berkuasa wajib melaporkan, mendakwa dan menuduh Zuraida di mahkamah.

Hanya dengan tindakan sedemikian akan dapat mencerminkan keseriusan kerajaan untuk menguatkuasakan PKP tanpa gentar atau pilih kasih.

Individu seperti Man hendaklah diberi peluang untuk dilepaskan atas dasar kemanusiaan. Keadilan wajar seiring dengan belas kasihan.

Dr Ong pula akan melalui hari-hari kemudian di mahkamah.


RAMA RAMANATHAN adalah jurucakap Edict.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS