Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Covid-19 di S'gor catat penurunan 2 hari berturut-turut
Diterbitkan:  Apr 2, 2020 8:22 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Statistik terkini jangkitan Covid-19 di Selangor mencatatkan penurunan selama dua hari berturut-turut, kata Dr Dzulkefly Ahmad yang kini mengetuai pasukan petugas (taskforce) bagi membendung wabak berkenaan di negeri itu.

Dr Dzulkefly yang juga bekas menteri kesihatan berkata, kes terbaru menunjukkan penurunan daripada 60 kes pada 30 Mac kepada 32 kes pada 31 Mac, manakala semalam (1 April), hanya dua kes baru dilaporkan.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Selangor adalah sebanyak 726 kes sehingga 1 April 2020.

“STFC (Selangor Taskforce for Covid-19) memandang serius situasi terkini penyakit Covid-19 di Selangor kerana merupakan tertinggi dalam carta jumlah kes positif Covid- 19.

“Statistik ini adalah sejajar dengan faktor kepadatan penduduk Selangor, yang mewakili lebih 20 peratus daripada populasi kependudukan Malaysia,” kata pengerusi taskforce itu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan penduduk di empat daerah yang dikategorikan sebagai zon merah mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi perintah kawalan pergerakan sehingga tamat pada 14 April.

Empat daerah tersebut merupakan Petaling, Hulu Langat, Klang dan Gombak.

Katanya, pasukan STFC komited untuk meningkatkan keupayaan kerajaan negeri dengan mengemukakan cadangan kepada Jabatan Kesihatan Negeri bagi menangani penularan wabak tersebut.

“Objektif strategi menangani epidemik Covid-19 ini adalah mempastikan ‘kemampuan fasiliti-fasiliti kesihatan di negeri Selangor terutama wad ICU (Unit Kawalan Rapi) dan kelengkapan seperti ventilator, sentiasa mampu menangani peningkatan kes’.

“Oleh itu sangat penting untuk sentiasa ‘melandaikan keluk epidemik’ atau ‘flattening the epidemic curve’ di negeri Selangor,” katanya.

Setakat tengah hari ini, Kementerian Kesihatan memaklumkan terdapat 208 kes Covid-19 baru, menjadikan jumlah keseluruhan di negara ini ialah 3,116 kes.

Manakala angka korban akibat wabak berkenaan kini mencecah 50 orang, dengan lima lagi kematian terbaru.

Lihat Komen
ADS