Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Masa kecil-kecil selalu terfikir macam mana negara di tahun 2020, Malaysia yang penuh dengan kemodenan, negara canggih dengan banyak khidmat robot-robot digunakan serta kereta 'meluncur' laju di udara.

Itu yang penulis dan rakan-rakan bayangkan apabila memikirkan Wawasan 2020 yang diilhamkan perdana menteri keempat dan ketujuh negara, Dr Mahathir Mohamad.

Namun, hakikatnya apabila memasuki tahun 2020 rakyat Malaysia dan hampir semua negara di seluruh dunia berdepan dengan ancaman wabak Covid-19 yang tercetus pada awalnya di Wuhan, China.

Begitulah hakikat kehidupan, kita merancang namun Allah juga merancang dan kita sememangnya tidak mampu untuk meramal masa depan.

Pandemik Covid-19 adalah wabak atupun virus yang bukan saja boleh meragut nyawa, malah boleh memberi kesan kepada kehidupan manusia sejagat, ekonomi negara dan juga dunia.

Kita di Malaysia, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan printah kawalan pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Diberi suntikan sebanyak RM250 bilion melalui pakej rangsangan ekonomi untuk memastikan situasai sukar ini memberi impak yang minimum kepada ekonomi negara.

Penularan wabak Covid-19 secara tidak langsung telah menerbitkan citra masyarakat Malaysia, si kaya dan si miskin yang pemurah turun padang menyumbang kepada masyarakat membantu mereka memerlukan mengikut kemampuan masing-masing.

Terus bermain politik

Namun sesetengah 'pemain politik' pula terus berpolitik sepanjang masa tidak kira musim, mencari ruang dan peluang ketika penularan wabak ini untuk meraih laba politik.

Ada juga menteri yang ketika ini turut 'buat-buat sibuk' melakukan tugas di lapangan bersama petugas barisan hadapan yang akhirnya mengundang kecaman.

Bahkan tindakan segelintir pemimpin politik sibuk bermain politik ketika negara berdepan situasai mendapat kecaman netizen.

Begitu juga apabila kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej ransangan ekonomi, majoriti rakyat tersenyum puas, tetapi ada yang tetap tidak puas hati dan mencari peluang untuk menyerang kerajaan.

Artis pula dengan egonya yang tersendiri, tidak puas hati dengan bantuan yang diumumkan kerajaan, mahukan satu peruntukan khas diberikan kepada penggiat seni hiburan tanah air.

Akhirnya artis dan "jabatan netizen" bertembung dan mencetak kecaman demi kecaman di media sosial.

Apakah artis-artis Malaysia ini mempunyai kastanya yang tersendiri sehingga kerajaan perlu melayannya seperti 'anak emas', apakah artis-artis ini tidak mempunyai kad pengenalan biru untuk memohon bantuan kerajaan?

Jangan jadi begitu, kita semua sama saja, kita bediri di bumi ini atas nama rakyat Malaysia.

Sepatutnya kita belajar bersyukur dengan apa yang ada dan bagi yang mempunyai rezeki lebih inilah peluang untuk "mencetak saham akhirat" dengan membantu mereka dihimpit kesusahan akibat Covid-19.

Sekarang bukanlah masa sesuai untuk kita berpolemik, untuk kita berdebat mencari salah siapa, ataupun untuk kita berpolitik menunjukkan siapa yang lebih hebat.

Sekarang adalah masa yang menuntut kesatuan, perpaduan dan solidariti rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit, agama mahupun bangsa untuk memastikan kejayaan kita memutuskan rantaian Covid-19.

Tugas sebagai rakyat Malaysia

Tidak kira artis, nelayan, petani, kakitangan awam, pekerja swasta ataupun "Mak Cik Kiah" penjual pisang gorang, kita semua adalah hero negara yang akan memastikan kejayaan petugas di barisan hadapan yang bertungkus lumus siang dan malam "bertarung" dengan Covid-19.

Dalam pertarungan melawan Covid-19, kita tiada pilihan lain, kita mesti menang jika mahu meneruskan kehidupan.

Jadi, jangan kita jadi si kapitalis, yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk kepentingan diri mencari keuntungan untuk diri sendiri meskipun dalam saat sukar.

Tugas kita sebagai rakyat Malaysia ketika ini mudah saja, duduk rumah dan patuh pada arahan PKP.

Apa yang terjadi ketika ini jika diteliti sebenarnya banyak hikmah yang tersembunyi, jika sebelum ini kita jarang ada masa bersama keluar, jarang dapat makan semeja ataupun jarang dapat solat berjemaah bersama ahli keluarga, kali ini Allah SWT beri kita peluang itu.

Bukan sehari, bukan dua hari, bukan seminggu dua, tapi empat minggu sekurang-kurangnya untuk kita isi dengan perkara bermanfaat bersama keluarga selain untuk kita lebih mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Bagi umat Islam, tidak lama lagi kita akan menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia dan kemudiannya disusuli dengan sambutan Aidilfitri.

Jika kita mahu menyambut ketibaan Ramadan seperti biasa, jika mahu berhari raya seperti kelazimannya dapat pulang ke kampung halaman, duduk rumah dan patuhlah arahan PKP.

Kita mesti menang jika mahu menyambut Aidilfiri.

Lihat Komen
ADS