Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Presiden Persatuan Pemborong Beras Malaysia, Ng Chee Len menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan harga beras yang diimport akan naik tidak lama lagi.

Beberapa faktor yang boleh menyebabkan kenaikan harga, termasuklah pembelian panik dan larangan eksport yang berterusan serta kemarau di Thailand dan Vietnam yang menjejaskan pengeluaran beras, lapor Nikkei Asian Review.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ng mempersoalkan sekiranya Padiberas Nasional Berhad (Bernas) selaku pengimport tunggal beras negara menyimpan beras yang mencukupi ketika tercetusnya wabak Covid-19 pada Januari lalu.

"Sebagai entiti perniagaan, Bernas perlu membeli beras tambahan apabila wabak koronavirus tercetus bermula awal tahun ini. Seorang usahawan yang berpandangan jauh harus dapat membuat persiapan awal,” katanya.

“Beras adalah makanan ruji yang boleh disimpan dengan mudah selama enam bulan," katanya.

Beliau berkata jika Bernas mempunyai stok beras import yang mencukupi, orang ramai tidak perlu membayar lebih untuk harga beras yang mahal.

"Masalahnya ialah kita tidak tahu berapa banyak stok beras yang diimport oleh Bernas,” kata Ng, yang terlibat dalam industri pemborongan beras selama lebih setengah abad.

"Bernas tidak pernah mendedahkan maklumat stok beras yang diimport, tetapi kami merasakan beras import hanya berada di bawah 100,000 tan setiap tahun.

"Mereka harus telus mengenai maklumat itu," katanya.

Ng berkata sudah tiba masanya kerajaan membuka import beras kepada peniaga lain untuk memastikan permintaan beras import negara dipenuhi.

Selain persatuan pemborong, Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) juga mempersoalkan sama ada Malaysia mempunyai stok beras yang cukup ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presiden PPBMM Mohamad Termizi Yop berkata mereka tidak tahu di mana stok beras tersebut disimpan walaupun menteri kabinet mengatakan bekalan mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik.

"Wakil kami bertemu Unit Pengawasan Industri Beras dan Padi, di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk mendapatkan penjelasan lanjut," katanya dipetik The Malaysian Insight pada Isnin.

"Bagaimanapun, kami berasa kecewa kerana unit pengawasan itu tidak mempunyai maklumat mengenai stok beras," katanya sambil menambah ahli PPBMM sendiri gagal memberi beras dari Bernas kerana agensi berkenaan enggan memberikan kerjasama.

Katanya ahli PPBMM hanya ingin mengedarkan stok beras kepada pemborong dan pengilang bagi memastikan bekalan yang mencukupi untuk semua lokasi.

Ketika dihubungi, pegawai perhubungan awam Bernas meminta Malaysiakini mengajukan soalan tersebut kepada kementerian pertanian dan industri makanan.

Malaysiakini telah cuba menghubungi kementerian berkenaan untuk mendapatkan maklum balas.

Pada 27 Mac, Reuters memetik data kementerian itu dengan melaporkan bahawa Malaysia mempunyai stok beras berjumlah 500,000 tan dan hanya cukup untuk bertahan selama dua bulan setengah.

"Bernas bertindak awal untuk menyelamatkan kontrak eksport beras sehingga Mei 2020 dari Vietnam walaupun harganya tinggi.

"Langkah seterusnya ialah membeli beras dari negara lain termasuk Pakistan, India, Myanmar dan Thailand," katanya.

Perkara itu disangkal oleh menterinya, Ronald Kiandee yang mengatakan stok beras tempatan di kilang-kilang, pemborong dan kedai runcit adalah sekitar 523,000 tan.

Ini tidak termasuk stok pengeluaran beras tempatan dan beras import yang ada di negara ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan pengeluaran stok beras tempatan dan stok beras import.

Pada 2016, negara menggunakan 2.7 juta metrik tan beras atau secara purata rakyat Malaysia makan 80kg beras, menurut satu kajian mengenai status beras dan padi yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah pada April 2019.

Bernas mengimport 30 hingga 40 peratus beras bagi menampung permintaan domestik setiap tahun.

Pada Jun 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkata ia merancang untuk menamatkan monopoli import Bernas yang akan tamat pada tahun 2021.

Lihat Komen
ADS