Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM sedia data 10 April bagi bantu k'jaan putuskan pelanjutan PKP

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyediakan data pada 10 April bagi membantu kerajaan membuat keputusan sama ada perintah kawalan pergerakan (PKP) perlu dilanjutkan atau tidak.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan akan dibuat berdasarkan sama ada jumlah kes baru Covid-19 setiap hari mencatatkan penurunan atau sebaliknya.

"Data perlu menunjukkan kepada kita sama ada perlu lanjutkan atau tidak...Saya boleh buat jangkaan tapi realitinya ia perlu berdasarkan fakta dan sains.

"Kita harap menjelang 10 April, data sudah ada untuk kita buat keputusan untuk lanjutkan PKP atau tidak," katanya ketika sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Sejak PKP berkuat kuasa pada 18 Mac lalu, peningkatan harian antara 106 hingga 235 sehari.

Dua hari lalu (2 dan 3 April) menyaksikan jangkitan baru melepasi 200 kes, tetapi KKM menjelaskan bahawa ia adalah susulan pengesanan aktif yang dijalankan di kawasan yang sudah dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Setakat tengah hari tadi, Malaysia mencatatkan 150 jangkitan baru, menjadikan jumlah keseluruhan 3,483 kes.

Mengulas lanjut, Noor Hisham menegaskan orang ramai perlu terus mematuhi PKP dengan tetap tinggal di rumah dan mengamalkan penjarakan sosial.

"(Ini adalah) apa yang boleh kita lakukan untuk mengubah angka jangkitan. Kami memantau setiap hari.

"Tanggungjawab bukan hanya di bahu kami di kementerian, tetapi semua rakyat perlu memainkan peranan," katanya.

Noor Hisham sebelum ini berkata bahawa kementerian telah bersedia berdepan situasi terburuk seperti yang diunjurkan bahawa jumlah kes akan mencecah 6,500 pada pertengahan April.

PKP pada mulanya dijadual tamat pada 31 Mac, namun dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 14 April.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS