Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia perlu dahului masa hadapi ancaman - Mohamad Hasan
Diterbitkan:  Apr 5, 2020 1:13 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Malaysia perlu mendahului masa dengan membangunkan kefahaman dan kesiapsiagaan bagi menghadapi ancama bukan tradisional terhadap keselamatan negara, termasuk pandemik dan serangan siber.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata kerajaan tidak lagi boleh mengambil pendekatan secara ad hoc semasa menghadapi situasai sebegitu.

Beliau berkata, penubuhan pusat kebangsaan seperti Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di AS kini sudah menjadi satu keperluan nasional dan mesti diutamakan.

"Malaysia akan lebih terdedah kepada semua ancaman bukan tradisional ini berbanding peperangan atau interstate conflict (konflik antara negara).

"Namun, terlalu banyak sumber diperuntukkan kepada sektor pertahanan dan keselamatan tradisional sehingga pelaburan dalam kesediaan menghadapi ancaman keselamatan bukan tradisional diabaikan.

"Kerajaan tidak lagi boleh mengambil pendekatan ad hoc. Kesiapsiagaan kita mesti mendahului masa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata demikian sebagai mengulas situasai penularan wabak Covid-19 dihadapi negara ketika ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggambarkan bahawa krisis Covid-19 yang dihadapi ketika ini adalah paling parah dan mencabar semenjak Perang Dunia Kedua.

Perlu ketahanan lestari

Malaysia mengambil pendekatan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan rangkaian penularan wabak berkenaan.

Malah kerajaan juga mewajibkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikuarantin selama 14 hari.

Bagi merancakkan ekonomi akibat penularan wabak itu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsan Ekonomi Prihatian Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion.

Sebelum itu pada 27 Februari bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada peringkat awal penularan Covid-19 mengumumkan Pakej Rangsana Ekonomi 2020 bernilai RM 20 bilion.

Mohamad berkata Malaysia mesti bersedia untuk melakukan total reset bagi memastikan kelestarian ekonomi dan pembangunannya.

Jelasnya, jika sebelum ini orientasi ekonomi negara berpaksi kepada kebolehsaingan dan pendapatan tinggi, namun keutamaan kini ialah membangun ketahanan ekonomi.

"Kita mesti kembali membongkar potensi modenisasi ekonomi tradisional dan sektor pertumbuhan crisis proof (kalis krisis) untuk kelangsungan ekonomi kita.

"Jika sebelum ini, rencana ekonomi kita ialah merangsang pertumbuhan. Sekarang, kita mesti kembali kepada pemulihan dan ketahanan yang lestari," katanya lagi.

Selain itu Mohamad berkata Malaysia perlu mesti memberi tumpuan untuk merombak secara radikal sistem penyampaian kerajaan.

Katanya, sudah tiba masanya beralih kepada kerajaan digital secara total dan bukan lagi pilihan, bahkan sistem penyampaian negara tidak boleh lumpuh ketika berhadapan dengan krisis.

"Contoh yang paling nyata ialah apabila sekolah terpaksa ditutup dan bagaimana kita tidak boleh beranjak ke online mode dengan pantas dan segera," jelasnya lagi.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS