Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K’jaan batalkan kelulusan Heineken beroperasi semasa PKP
Diterbitkan:  Apr 6, 2020 1:10 PM
Dikemaskini: 7:50 AM
  • Dikemas kini dengan kenyataan rasmi Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Mesyuarat khas kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini memutuskan untuk membatalkan kelulusan operasi dua kilang arak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami telah buat keputusan bahawa kelulusan yang diberikan itu adalah terbatal atau dibatalkan,” Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di Putrajaya , hari ini.

Ismail Sabri berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti ) akan mengeluarkan surat pembatalan serta-merta.

“...jadi tidak timbul isu tentang kilang Heineken dan Carlsberg beroperasi,” katanya.

Terdahulu Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menulis di Twitter berkaitan keputusan itu.

Ini susulan tindakan pemimpin Umno, PAS dan Bersatu yang membidas kerajaan kerana meluluskan keputusan sedemikian sedangkan arak bukan dianggap sebagai barangan penting.

Dalam ciapan di Twitter, Annuar berkata kelulusan kepada pengeluar minuman alkohol untuk beroperasi tidak selari dengan dasar PKP.

"Sudah di batalkan pagi ini... kerana tak selari dengan dasar yang ditetapkan kerajaan,” katanya

Semalam, tular sepucuk surat dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memberi pengecualian kepada sebuah syarikat arak untuk beroperasi ketika PKP.

Dalam surat bertarikh 31 Mac yang dilihat Malaysiakini, kementerian berkenaan membenarkan Heineken Malaysia Bhd beroperasi dalam PKP, susulan permohonan yang dibuat pada 24 Mac.

Syarikat pembekal bir itu kemudian mengesahkan ketulenan surat berkenaan melalui satu kenyataan sambil menambah bahawa operasi terhad mereka itu hanya dibenarkan dengan 10 peratus pekerja semasa PKP.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, yang mengesahkan perkara itu berkata keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri,  Muhyiddin Yassin, hari ini.

“Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengeluarkan surat pembatalan kepada kilang berkenaan dengan serta-merta,” katanya pada sidang medianya di Kuala Lumpur hari ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS