Syarikat penyiaran Astro Malaysia menutup pusat penyiarannya di Bukit Jalil selama dua hari sehingga 7 April selepas salah seorang kakitangan diuji positif Covid-19.
Dalam satu kenyataan hari ini, penyedia perkhidmatan siaran digital itu berkata kakitangannya, yang bekerja di bahagian pasukan pengangkutan penyiaran luar di All Asia Broadcast Centre, Bukit Jalil, didiagnosis pada 5 April.
Kakitangan berkenaan kini menerima rawatan perubatan di hospital kerajaan.
"Kami sedang berusaha untuk mengenal pasti mereka yang telah berhubung dengan kakitangan berkenaan.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, pusat penyiaran Bukit Jalil akan ditutup hari ini untuk pembersihan penuh dan dibuka semula pada 8 April," kata seorang jurucakap Astro.
Astro berkata ia telah membatalkan persembahan langsung dan acara awam serta berkata pasukannya berpecah di pelbagai tempat dengan majoriti besar bekerja dari rumah.
"Siaran kami tidak terjejas dengan perkembangan ini," kata Astro.
