Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penagih dadah, ketum jangan takut buat ujian saringan

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, menyeru agar penagih dadah atau ketum tampil menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengesan Covid-19 tanpa perlu bimbang mereka akan ditangkap.

Kata Abdul Hamid, jika mengalami sebarang simptom berkaitan wabak itu penagih terbabit mesti hadir ke hospital dan jangan takut ditahan.

Jelasnya, fokus Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini bukan untuk menangkap mereka tetapi mencegah penularan wabak Covid-19.

“Dalam kes macam ini, bahaya yang lebih besar adalah Covid-19. Saya seru kepada mereka yang dijangkiti atau yakin ada simptom agar tampil mendapatkan rawatan.

“[...] Kalau seseorang pernah ambil ganja dan takut dia dikesan sebagai penagih, jangan bimbang, tampil (buat saringan) dahulu, yang penting nyawa,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Menjelaskan kenyataan itu, Abdul Hami berkata, nasihat itu bukanlah bermakna PDRM tidak lagi akan membuat tangkapan kepada pesalah dadah, sebaliknya untuk waktu ini fokus utama PDRM hanya kepada kes besar, seperti pengedar dadah.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata kekuatan anggota polis juga akan ditambah 100 peratus di semua sempadan dan perairan negara bagi menyekat pencerobohan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Bincang dengan tentera

Katanya, setakat ini seramai 2,500 anggota polis dibawa untuk mengawal dan melakukan rondaan di setiap perairan dan sempadan negara sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurut Abdul Hamid, PDRM memahami kebimbangan Kementerian Kesihatan terhadap kemungkinan negara ini dilanda gelombang ketiga Covid-19.

“Kita menjangkakan wabak ini mungkin akan dibawa pendatang asing tanpa izin yang memasuki negara menggunakan laluan tikus dan sudah pasti kehadiran mereka tanpa proses saringan berisiko tinggi kepada kita,” katanya lagi.

Menurutnya, isu itu dibincangkan dan dipersetuju bersama dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Affendi Buang, dan yakin tugas tersebut akan berjalan lancar.

Abdul Hamid juga menjelaskan, sepanjang pelaksanaan PKP anggotanya berjaya menahan enam orang Pati yang cuba memasuki sempadan negara di Utara Semenanjung.

"Mereka terdiri daripada 5 lelaki dan seorang perempuan iaitu warga Bangladesh dan Myanmar berusia lingkungan antara 19 hingga 23 tahun,” katanya.

Lihat Komen
ADS