Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: Polis tambah 100% anggota kawal perairan, sempadan negara

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah kekuatan keanggotaan sebanyak 100 peratus bagi penugasan kawalan di sempadan dan perairan negara bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata sehingga kini hampir 2,500 pegawai dan pegawai berpangkat rendah ditugaskan mengawal kawasan berkenaan dalam usaha mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pendatang tanpa izin.

"Wabak ini berkemungkinan dibawa masuk pendatang tanpa izin yang menggunakan laluan-laluan tikus dan sudah pasti kehadiran mereka tanpa melalui proses saringan dan pemeriksaan amat berisiko tinggi," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain penugasan kawalan sempadan dan perairan negara, Abdul Hamid memaklumkan pihaknya turut mengadakan beberapa operasi termasuk Op Nyah, Op Wawasan, Op Awas dan Op Batas di Sarawak selain Op Taring di Sabah bagi mengelak pendatang tanpa izin masuk ke negara ini.

Abdul Hamid berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama kesemua panglima yang terdiri daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Dalam perbincangan yang diadakan bersama Panglima Tentera Darat, Panglima Tentera Udara dan Panglima Tentera Laut di Kementarian Pertahanan, mereka banyak memberi idea dan cadangan untuk memperketatkan perbatasan negara.

"Antara yang dibincang termasuk penugasan PDRM dan ATM bagi mengawal sempadan dan perairan Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagaimana kita dapat kurangkan risiko dengan cara mengawal lokasi seperti disebutkan tadi," katanya.

Semalam, Bernama melaporkan polis akan mempertingkatkan kawalan dan pemantauan di perairan negara susulan wujud cubaan untuk membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini melalui ‘laluan tikus’.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata polis hanya bertindak menjalankan tangkapan ke atas individu yang mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala tindakan menempatkan individu terbabit dalam penjara adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Kehakiman Negara.

"Penguatkuasaan undang-undang hanya dilakukan polis sementara hukuman penjara adalah di bawah budi bicara pihak mahkamah," katanya.

Semalam, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dalam kenyataan menggesa supaya pegawai kehakiman membuat pertimbangan dalam menjatuhkan hukuman penjara bagi kesalahan melanggar PKP susulan risiko penularan wabak Covid-19 di penjara.

Diminta mengulas penggunaan kekerasan terhadap individu yang ingkar PKP, Abdul Hamid berkata pegawai dan anggota polis tidak digalakkan mengunakan kekerasan bagi mengawal situasi itu.

"Harapan saya terhadap pegawai dan anggota polis bertugas supaya mengikut undang-undang. Saya sendiri tidak mengalakkan mereka menggunakan kekerasan bagi mengawal mereka yang ingkar.

“Polis tidak suka tahan orang tetapi undang-undang itu bertujuan untuk menjaga kepentingan seluruh rakyat Malaysia dan ia bukanlah satu keseronokan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS