Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penahanan PKP tak wajar, langgar Kanun Prosedur Jenayah - Peguam

Seorang peguam di Lembah Klang mendakwa ribuan tangkapan yang dibuat kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah tidak wajar.

Menurut Jacky Loi, Kanun Prosedur Jenayah (CPC) tidak memperuntukkan penangkapan tanpa waran bagi kesalahan yang boleh dihukum dengan tempoh penjara kurang daripada tiga tahun dan bagi kesalahan yang tidak termasuk di bawah Kanun Keseksaan.

Mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 atau PCID, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Maka ia jelas bahawa pesalah tidak boleh ditangkap tanpa waran,” kata Loi kepada Malaysiakini.

Malah, katanya pihak polis sewajarnya mengeluarkan ikat jamin dan memanggil pesalah PKP untuk hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan bagi dikenakan hukuman.

“Dalam kes yang sesuai, secara alternatif, pesalah sepatutnya dikenakan notis kompaun,” katanya lagi.

Oleh itu Loi yang merupakan pengerusi bersama Jawatankuasa Peguam Jenayah Kuala Lumpur menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah penangkapan yang yang tinggi.

Terdahulu, media melaporkan, sebanyak 5,000 tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa terhadap individu yang ingkar arahan PKP.

Kerajaan menguatkuasa PKP selama empat minggu bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19 dan memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut.

Sewaktu PKP, orang ramai diarahkan untuk duduk di rumah melainkan mereka terpaksa ke tempat kerja dengan kebenaran, membeli makanan dan keperluan asas atau mendapat rawatan di hospital.

Segala aktiviti sukan luar seperti berjoging serta berkumpul di luar kawasan rumah juga tidak dibenarkan.

Penggunaan Seksyen 186

Loi turut mendakwa pihak polis menggunakan Seksyen 186 Kanun Keseksaan untuk membuat penangkapan.

Seksyen 186 berkaitan dengan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas mereka dan dalam kes ini semasa menguatkuasakan PKP.

Bagaimanapun, Loi menegaskan bahawa Seksyen 22 Akta PCID 1988 telah meliputi kes menghalang tugas penjawat awam atau mengingkar arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berulang, hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali dan juga denda RM200 setiap hari bagi kesalahan yang berterusan.

"Kebanyakan orang yang ditahan itu akhirnya didakwa di mahkamah kerana melanggar PCID berbanding dengan kesalahan di bawah Seksyen 186.

“Saya sedar terdapat beberapa kesalahan di mana penggunaan Seksyen 186 adalah sesuai, namun adalah tidak patut membenarkan penangkapan ini kerana dakwaan pelanggaran PCID tiada justifikasi dan tiada waran.

“Menggunakan Seksyen 186 bukan satu jalan penyelesaian dan tidak membantu untuk membendung penularan wabak tersebut,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS