Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan tanggung maksimum RM150 sehari bagi kuarantin hotel
Diterbitkan:  Apr 7, 2020 3:05 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Kerajaan hanya akan membiayai RM150 sehari bagi mereka yang menjalani kuarantin di 45 hotel yang ditetapkan sebagai pusat kuarantin, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Pada sidang akhbar hari ini, Ismail menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial yang menuduh kerajaan menyediakan pusat kuarantin bersifat dua darjat.

Jelas Ismail, kerajaan telah mewartakan sebanyak 45 buah hotel bertaraf tiga bintang dan ke atas sebagai pusat kuarantin, namun hanya RM150 sehari kadar rata yang akan dibayar oleh kerajaan kepada hotel.

"Jika ada individu yang mahu tinggal di hotel bertaraf empat atau lima bintang boleh berbuat demikian dengan syarat hotel berkenaan dalam senarai 45 hotel yang diwartakan dan kos sepenuhnya ditanggung sendiri," katanya.

Ismail menambah bahawa kerajaan mewartakan hotel bertaraf empat atau lima bintang, bagi menempatkan diplomat asing yang perlu menjalani kuarantin wajib.

Kerajaan sebelum ini menetapkan bahawa semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara bermula 3 April dan seterusnya mesti menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

Susulan itu, timbul dakwaan yang mengatakan bahawa kualiti pusat kuarantin berbeza-beza, dari dewan masyarakat untuk gelandangan kepada kediaman perumahan penjawat awam dan hotel mewah.

Beliau juga menegaskan bahawa individu yang menjalani kuarantin wajib tidak boleh memilih hotel yang di luar senarai hotel yang diwartakan kerana tujuan keselamatan dan pematuhan prosedur operasi piawai yang telah ditetapkan kerajaan.

"Pasukan petugas khas ditempatkan di semua pusat kuarantin yang telah diwartakan.

"Mereka yang menjalani perintah kuarantin wajib tidak dibenarkan keluar dari hotel. Keluarga dan tetamu juga tidak dibenarkan melawat mereka," katanya.

Ismail berterima kasih kepada hotel yang turut serta kerana menurutnya kadar RM150 untuk penginapan sangat rendah.

Setakat 6 April, terdapat 122 pusat kuarantin yang menempatkan kira-kira 7,500 individu di seluruh negara.

Lihat Komen
ADS