Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hidup di Zon Merah dan Zon Hijau mungkin berbeza
Diterbitkan:  Apr 7, 2020 4:00 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Sebarang kelonggaran terhadap perintah kawalan pergerakan (MCO) akan berdasarkan situasi di kawasan terlibat, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Sambil menegaskan bahawa kelonggaran PKP hanyalah satu "kemungkinan", namun menurutnya ia sedang dipertimbangkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau berkata, sebagai contoh, PKP mungkin dilonggarkan di "Zon Hijau" - daerah yang tidak mempunyai kes Covid-19.

"Zon Merah" ditakrifkan sebagai daerah dengan 40 kes dan ke atas Covid-19. "Zon Jingga" adalah kawasan yang mencatatkan kurang daripada 40 kes Covid-19.

Ismail berkata kerajaan sedang mempertimbangkan banyak faktor sebelum sebarang kelonggaran peraturan diumumkan.

"Mungkin kita akan membenarkan kilang-kilang di Zon Hijau untuk dibuka semula, tetapi bolehkah pekerja dari Zon Merah bekerja di sana?" kata Ismail, memberi contoh persoalan yang dipertimbangkan oleh kerajaan.

Apa yang pasti, kata Ismail, peraturan di Zon Merah akan diperketat.

Ismail menjawab soalan daripada seorang wartawan yang bertanya sama ada kerajaan akan melonggarkan peraturan bagi salon rambut dan kedai perkakasan.

Ketika ini, kedai perkakasan hanya dibenarkan dibuka pada hari Isnin dan Khamis.

Ismail berkata walaupun PKP telah tamat, peraturan baru mungkin akan dikenakan untuk mencegah kenaikan semula jangkitan Covid-19.

Sementara itu, Ismail berkata jumlah individu yang ditangkap kerana ingkar PKP setakat semalam adalah sebanyak 403 manakala jumlah individu yang didakwa di mahkamah ialah 537.

Beliau berkata antara 18 Mac dan 6 April, polis telah menangkap 6,451 individu kerana melanggar PKP. Beliau juga berkata indeks jenayah negara menurun sebanyak 70 peratus sejak bermulanya PKP.

Lihat Komen
ADS