Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Label arak sebagai perkhidmatan penting tindakan keterlaluan’

PAS menghormati hak orang bukan Islam untuk minum minuman keras sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) atau pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS, Kamaruzzaman Mohamad berkata bantahan parti itu adalah kerana operasi kilang arak tidak sepatutnya dikategorikan sebagai essential services atau perkhidmatan penting.

"PAS menghormati hak bukan Islam untuk minum minuman keras sepertimana dasar yang dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu, tetapi jangan sampai mengakibatkan kerosakan dan merosakan keharmonian masyarakat umum disebabkan arak serta ia bukanlah keperluan semasa dalam menghadapi situasi kritikal wabak Covid 19.

"Ia (pengeluaran minuman keras) juga bukan kategori essential services (perkhidmatan penting)," katanya kepada Malaysiakini.

Kamaruzzaman berkata demikian ketika ditanya kewajaran kerajaan membenarkan syarikat pengeluar arak beroperasi semasa tempoh PKP.

Sebelum ini tular sepucuk surat dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memberi pengecualian kepada syarikat arak itu untuk beroperasi ketika PKP.

Dalam surat bertarikh 31 Mac itu, kerajaan membenarkan syarikat pembekal bir itu beroperasi dalam PKP, susulan permohonan yang dibuat pada 24 Mac.

Tidakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak termasuk pemimpin PAS dan Umno yang menganggotai kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid kemudian tampil menjelaskan bahawa surat berkenaan mungkin disalahtafsirkan kerana kebenaran tersebut dibuat hanya bagi pengedaran stok sedia ada dan bukan kebenaran untuk beroperasi.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khairudin turut senada dengan Kamaruzzaman.

Malah kata Khairil, tindakan menyenaraikan minuman keras sebagai perkhidmatan penting adalah satu tindakan keterlaluan.

"Pemuda PAS menghormati hak bukan Muslim dalam hal ini (minum minuman keras), namun perlulah diingatkan bahawa memasukkan minuman alkohol di dalam senarai penting (kritikal) adalah satu tindakan yang keterlaluan.

“Ini sekali gus menafikan kepentingan industri lain yang lebih wajar untuk diutamakan berbanding minuman beralkohol," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khiaril, Pemuda PAS berpandangan kerajaan seharusnya mendidik rakyat agar menjauhi budaya mengambil minuman keras ini kerana telah terbukti ia lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding manfaat.

Katanya, ia juga dapat dilihat melalui statistik kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pemandu mabuk sebelum PKP dilaksanakan pertengahan Mac lalu.

Oleh demikian Khairil berkata Pemuda PAS berharap jemaah menteri dapat membincangkan secara tuntas perkara ini pada mesyuarat kabinet dan membuat penilaian semula terhadap kebenaran yang telah diberikan itu.

"Desakan kami ialah surat kebenaran yang dikeluarkan oleh kerajaan tersebut perlu dipertimbangkan untuk ditarik kembali demi menjaga kemaslahatan rakyat.

“Jika tidak, negara perlu bersedia dengan kemurkaan yang lebih besar daripada Allah SWT akibat kelekaan membenarkan keputusan sebegini terlaksana di bumi Malaysia ini," katanya.

Lihat Komen
ADS