Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lagi ahli politik ganti teknokrat, kali ini di Perkeso pula
Diterbitkan:  Apr 7, 2020 6:02 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

Zakri Khir hari ini meletak jawatan sebagai Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Memetik sumber, Focus Malaysia melaporkan bahawa teknokrat itu akan digantikan oleh ahli parlimen Sabak Bernam, Mohd Fasiah Mohd Fakeh. Beliau adalah dari Bersatu.

Dalam kenyataan berasingan yang mengesahkan peletakan jawatannyaa, Zakri berkata beliau menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Menteri Sumber Manusia M Saravanan hari ini.

Peletakan jawatan itu berkuat kuasa serta-merta.

Zakri, yang adalah ketua pegawai eksekutif Allianz Malaysia, dilantik oleh Majlis Penasihat Kerajaan Pakatan Harapan untuk menerajui Perkeso pada 8 Oktober 2018.

Beliau memiliki pengalaman selama 30 tahun dalam industri insurans.

"Saya memandang perkara itu sebagai perkhidmatan untuk negara tetapi dengan adanya perubahan kerajaan, sudah tentu ada pembaharuan dan saya berpendapat bahawa perkhidmatan saya tidak lagi diperlukan.

"Saya telah melakukan yang terbaik dan saya berterima kasih di atas semua sokongan dan keistimewaan dapat berkhidmat kepada kerajaan sejak 16 bulan yang lalu," katanya yang dipetik Bernama.

Zakri juga telah dilantik sebagai ahli majlis Mara oleh rejim terdahulu, sementara Pengerusi Kumpulan Pengurusan Aset Maybank, Hasnita Hashim dilantik sebagai pengerusi Mara.

Bagaimanapun, Hasnita, Zakri dan ahli majlis Mara yang lain dipecat bulan lalu oleh kerajaan baru Perikatan Nasional yang diterajui oleh Muhyiddin Yassin.

Turut disingkirkan adalah anggota majlis Mara yang lain, iaitu, Jamelah Jamaluddin, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff, Nungsari Ahmad Radhi, Ameer Ali Mydin, Syed Tamim Ansari Syed Mohamed, dan Ahmad Baslan Che Kassim.

Sementara itu, Bank Rakyat pada Sabtu lalu menamatkan perkhidmatan Noripah Kamso (foto, atas) sebagai pengerusinya.

Baru-baru ini adalah dilaporkan bahawa Bakke Mohd Salleh, yang dikenali sebagai tokoh yang lantang dalam 1MDB sebelum ia menjadi skandal global, meletakkan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS