Seorang petugas barisan hadapan, Dr Mohd Afiq menyatakan kerinduan kepada pesakit Covid-19 daripada kluster Tabligh yang menurutnya sangat mesra dan dan menunjukkan akhlak yang baik.

Doktor di Hospital Sungai Buloh itu berkata kelompok itu amat mudah memberikan kerjasama kepada barisan hadapan.

“Seronok rasa merawat mereka ini walaupun berpeluh-peluh dengan memakai PPE.

“Rasa seperti melawat kawan-kawan kita yang sangat mesra dengan petugas kesihatan,” tulisnya di Facebook lewat malam tadi.

Dr Afiq yang bertugas di wad sementara yang terletak di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Sungai Buloh turut berkata beliau dapat mendengar azan berkumandang bila sampai waktu dan alunan al-Quran hampir setiap masa di situ.

“Wad kusta lama yang penuh dengan cerita hantu pun rasanya hantu-hantu bertempiaran lari dengan pendinding semula jadi kerana akhlak dan zikir mereka.

“Hampir keseluruhan kluster Tabligh ini merendah diri dan tidak pernah merungut,” katanya.

Pesakit balik melancong

Beliau justeru meminta pesakit daripada kluster lain menunjukkan sikap yang sama.

“Mereka ini menganggap dirinya menjadi mangsa wabak Covid-19 ketika melancong.

“Tetapi ketika di luar negara tanpa segan silu memaparkan gambar dan memerli virus ini tiada di tempat sejuk,” katanya.

Dr Afiq juga menegur sikap segelintir pesakit yang tidak memberikan kerjasama dengan enggan dihantar ke wad tertentu atas alasan seperti panas dan tidak selesa.

“Bukan semua yang macam itu terutama yang berada di luar negara atas urusan yang tak dapat dielakkan seperti belajar.

“Tetapi setakat ini yang dijangkiti sebab pergi melancong memang sangat menjengkelkan,” tulisnya.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini