Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hampir separuh bekerja sendiri hilang kerja, majoriti tak sedia PKP dilanjut'
Diterbitkan:  Apr 9, 2020 2:55 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Majoriti responden dalam tinjauan khas kesan Covid-19 yang dibuat Jabatan Perangkaan Malaysia tidak bersedia dari segi kewangan jika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan selepas 14 April ini.

Tinjauan itu melibatkan 168,182 responden berusia 15 tahun ke atas, dan dibuat secara atas talian pada 23 hingga 31 Mac lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia memuat naik laporan di Twitter hari ini.

"Majoriti pekerja tidak bersedia jika PKP dilanjutkan, kecuali pekerja di GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan MNC (syarikat multinasional)," menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, sebanyak 81.9 peratus responden yang bekerja sendiri dan 71.3 peratus responden majikan berkata tidak bersedia jika PKP dilanjutkan.

Sejumlah 65.1 peratus responden yang bekerja swasta berkata tidak bersedia dengan kemungkinan itu.

Peratusan itu lebih tinggi berbanding responden yang bekerja dengan GLC (45 peratus) dan MNC (36.2 peratus).

Ia boleh dikaitkan dengan persediaan responden dari segi simpanan kewangan bagi menghadapi PKP.

Menurut laporan itu, majoriti iaitu 71.4 peratus responden yang bekerja sendiri berkata mempunyai simpanan untuk sebulan sahaja, diikuti dengan responden bekerja swasta (58 peratus), dan responden majikan (49.2 peratus).

Bagi responden yang bekerja dengan GLC dan MNC pula, hanya 38.9 peratus (GLC) dan 31.2 peratus (MNC) berkata mempunyai simpanan untuk tempoh itu.

'Hampir separuh pekerja sendiri hilang pekerjaan'

Tinjauan itu juga mendapati 46.6 peratus responden yang bekerja sendiri berkata telah hilang pekerjaan, dengan 25.1 peratus (bekerja dari rumah), 13.8 peratus (jumlah jam berkerja dikurangkan) dan 9.2 peratus (cuti tanpa gaji).

Sejumlah 23.8 peratus responden majikan juga berkata mereka berdepan keadaan sama.

Pada masa sama, peratusan hilang pekerjaan bagi kategori lain amat kecil, iaitu pekerja GLC (0.4 peratus), pekerja swasta (1.8 peratus) dan pekerja MNC (0.4 peratus).

Bagaimanapun responden majikan dan pekerja swasta tetap menerima impak, dengan 14.5 peratus dan 13.2 peratus masing-masing berkata perlu bercuti separuh gaji.

Tinjauan berdasarkan industri pula menunjukkan industri yang paling teruk terjejas ialah makanan dan minuman, pertanian dan peladangan, serta perikanan.

Sejumlah 35.4 peratus responden yang bekerja dalam perkhidmatan makanan dan minuman berkata mereka hilang pekerjaan, diikuti dengan 33 peratus pekerja industri perikanan dan 21.1 peratus pekerja pertanian dan perladangan.

Bagaimanapun Jabatan Perangkaan Malaysia berkata laporan tersebut berdasarkan responden yang menyertai tinjauan dan perlu ditafsir secara berhati-hati.

"...Ia bukanlah statistik rasmi. Namun ia boleh digunakan untuk menyokong dalam memberi gambaran tentang situasi semasa," kata laporan itu.

Malaysia menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac lalu. Ia pada mulanya dijadual berakhir pada 31 Mac, tetapi dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Dengan penguatkuasaan perintah itu, semua perkhidmatan dan perniagaan tidak penting tidak dibenarkan beroperasi dan warga hanya dibenarkan keluar rumah untuk urusan penting, seperti membeli bekalan makanan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS