Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kajian: 77% rakyat M'sia akui sukar kerja dari rumah
Diterbitkan:  Apr 10, 2020 7:03 PM
Dikemaskini: 11:03 AM

Sebilangan besar rakyat Malaysia mengakui berdepan kesukaran untuk bekerja dari rumah semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), dengan antara sebab utama adalah kerana sambungan internet yang tidak stabil.

Berdasarkan kaji selidik oleh firma penyelidikan pengguna dalam talian Vase.ai daripada 1,100 responden tentang bagaimana rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan bekerja dari rumah semasa PKP, ia mendapati 35 peratus memberitahu bahawa sambungan internet tidak stabil cabaran yang dihadapi ketika bekerja dari rumah.

Firma itu juga mendapati bahawa 77 peratus daripada responden mengakui menghadapi kesukaran untuk bekerja dari rumah.

Antara alasan utama lain disenaraikan untuk kesukaran bekerja dari rumah adalah cabaran berkomunikasi dengan pekerja atau ahli pasukan secara dalam talian (31 peratus), dan kesulitan mengakses data yang mereka perlukan dari pangkalan data pejabat (28 peratus).

Sebab-sebab lain yang dipetik oleh mereka adalah akses internet yang terhad (27 peratus), tidak mempunyai ruang yang sesuai untuk bekerja di rumah (23 peratus), sukar mencari keseimbangan kerja ketika bekerja dari rumah (23 peratus), gangguan dari ahli keluarga yang berada di rumah (22 peratus), sukar untuk menjejaki pekerja, rakan sepasukan atau perkembangan rakan sekerja (17 peratus), tidak dapat memberi tumpuan dalam persekitaran luar pejabat (16 peratus), dan menerima panggilan dan persidangan video berlebihan (8 peratus).

"Hanya 9 peratus rakyat Malaysia merasa lebih produktif untuk bekerja dari rumah. Alasan utama adalah kerana mereka dapat bekerja mengikut jadual peribadi mereka (49 peratus), mereka mempunyai kelebihan untuk menghabiskan masa dengan keluarga mereka dan mendapat kerja pada masa yang sama (37 peratus), dan kerana mereka mempunyai ruang kerja peribadi di rumah (36 peratus)," kata firma itu berhubung keputusan data yang dikumpulkan pada 27 Mac.

Daripada keseluruhan responden 23 peratus daripada mereka adalah dari wilayah tengah semenanjung Malaysia, 21 peratus dari Malaysia Timur dan wilayah Utara Semenanjung Malaysia masing-masing, 18 peratus dari wilayah selatan dan 16 peratus dari Pantai Timur semenanjung.

Firma itu berkata bahawa pecahan etnik responden adalah67 peratus  Bumiputer, 24 peratus Cina, dan India serta etnik lain adalah 9 peratus.

Mengenai umur responden pula, firma itu berkata bahawa mereka yang berusia di antara 24 hingga 29 merangkumi 30 peratus responden, mereka yang berumur 45 tahun ke atas terdiri daripada 22 peratus, mereka yang berumur antara 30 hingga 34 terdiri daripada 20 peratus, mereka yang berumur antara 35 dan 39 terdiri daripada 16 peratus, dan mereka yang berusia di antara 40 dan 44 membentuk 12 peratus.

Pada petang ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelanjutan dua minggu ke atas PKP di seluruh negara dari 15 hingga 28 April bagi meneruskan usaha untuk membendung penyebaran wabak Covid-19.

Lihat Komen
ADS