Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Penarafan A- yang diberikan oleh agensi penarafan kredit Fitch terhadap Malaysia boleh dipuji. Namun penarafan agensi kredit ini boleh menjadi salah, dan selalunya terpesong sama sekali.

Sebagai contoh, sebelum Krisis Kewangan Asia pada 1997 dan 1998, kesemua agensi penarafan kredit seperti Fitch, Standard & Poor’s dan Moody’s memberikan gambaran positif kepada seluruh rantau Asia Timur kecuali Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam.

Namun apabila analisis mereka dilihat negatif, ketiga-tiga agensi ini menukar penilaian mereka sepenuhnya. Penarafan terhadap ekonomi Thailand, Malaysia, Indonesia dan Korea Selatan mengalami penurunan dengan serta-merta.

Pada ketika itu, China dikecualikan kerana mata wangnya tidak diperdagangkan di pasaran antarabangsa. Negara itu masih berada dalam era ekonomi infrastruktur yang berakhir pada 2013, apabila lebihan pengeluaran bahan mentah seperti keluli dan simen memaksa Beijing melancarkan inisiatif Belt & Road (BRI) pada oktober tahun itu; bermula di Astana, Kazakhstan, disusuli Jakarta sebulan kemudian.

Moral daripada ringkasan di atas adalah mudah; agensi penarafan kredit tidak boleh dipercayai sebagai penentu arah untuk memacu ekonomi makro mahupun mikro di Malaysia.

Penarafan A- yang diberikan mungkin tidak bermakna pada minggu depan, jika - harapnya tidak - terdapat penularan wabak Covid-19 secara luar biasa, yang melampaui jangkaan terhadap keadaan semasa di Malaysia.

Harus diingat bahawa pada awal Februari 2020 lalu, terdapat 87,000 kes Covid-19 di seluruh dunia, dan 85 peratus daripadanya berlaku di China, terutamanya di bandar Wuhan.

Menjelang akhir Mac 2020, kemuncak pandemik telah beralih ke Amerika Syarikat (AS).

Ketika rencana ini sedang ditulis, lebih kurang 10.8 juta pekerja AS telah memfailkan faedah pengangguran. Ia berlaku dalam masa kurang tiga minggu sejak wabak Covid-19 mendarat di negara itu.

Tiada kepastian dapat dijangka

Kementerian Kewangan Malaysia tidak boleh mengemudi negara berdasarkan penarafan kredit ini atas dua sebab.

Sebagai permulaan, Moody’s juga memberi penarafan yang optimis terhadap pentadbiran kleptokrasi bekas perdana menteri Najib Razak pada Februari 2017. CIMB merupakan salah satu penaja bersama persidangan dengan Moody’s. Tiga bulan kemudian, kerajaan Najib mengalami kekalahan yang memalukan.

Kedua, penarafan positif sering diberikan berdasarkan aset yang dimiliki oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Kecuali jika Fitch telah melakukan audit menyeluruh ke atas semua entiti yang disebutkan, mustahil untuk agensi itu mengetahui bagaimana Malaysia boleh mencapai kadar pertumbuhan domestik kasar sebanyak 5.8 peratus pada tahun 2021.

Kadar pertumbuhan sedemikian bermakna negara berjaya mengendalikan Covid-19 bukan hanya di Malaysia tetapi di rantau ini juga, tanpa gagal. Namun setakat ini, tiada siapa yang tahu jika India dan juga jika sebahagian daripada Indonesia mungkin akan dilanda wabak itu dengan lebih teruk lagi.

Jika senario terburuk di India dan Indonesia berlaku, tidak ada jaminan bahawa harga minyak sawit Malaysia akan meningkat. Lagipun, jika India dan sebahagian besar Indonesia terjejas, di mana Malaysia ingin menjual minyak kelapa sawitnya?

Kesatuan Eropah (EU) mempunyai 26 negara anggota, dengan Perancis dan Jerman dijangka memasuki zaman kemelesetan ekonomi pada tahun ini. Malah dua negara itu mungkin telah memasukinya.

Pada masa sama, Korea Selatan, China dan Jepun mungkin menghadapi gelombang kedua atau ketiga Covid-19.

Di Korea Selatan, hampir 50 peratus pesakit yang telah pulih daripada Covid-19 dilaporkan mengalami jangkitan semula virus itu.

Secara kasar, tiada kepastian yang dapat dijangkakan dalam era selepas Covid-19, sama ada pada 2020 mahupun tahun-tahun mendatang.

Perkara terakhir yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah untuk mengambil langkah berdasarkan asas yang tidak diketahui dan "politik kipas" - di mana agensi penarafan kredit dari Barat berusaha untuk menggembirakan kerajaan hari ini demi mendapat akses lebih lanjut dalam kerajaan, menerusi perdana menteri atau pejabat Menteri Kewangan.

Saidina Abu Bakar pernah berkata: "Hukumlah aku jika aku sesat kerana itu kewajipan kamu". Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sentiasa mengatakan bahawa beliau merupakan pemimpin yang "membujur lalu melintang patah".

Dalam era Covid-19, kita tidak boleh membiarkan agensi dalam atau luar negara menghanyutkan Malaysia ke arah kelekaan ekoran penarafan yang diberikan.


DR RAIS HUSSIN ialah presiden/CEO EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar yang strategik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS