mk-logo
Berita
'Mesej tersembunyi' dalam nasihat Siti Zailah salah, kata SIS
Diterbitkan:  Apr 11, 2020 3:22 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Sister in Islam (SIS) berpandangan mesej tersembunyi di sebalik nasihat Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Siti Zailah Mohd Yusoff berkenaan hubungan suami isteri ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), sebagai tidak boleh diterima.

NGO itu berkata nasihat Siti Zailah itu, yang dinyatakan menerusi video berdurasi lima minit, mempunyai mesej tersembunyi bahawa wanita perlu bersabar, menerima dan memaafkan tingkah laku ganas suami mereka.

“Ini tidak boleh diterima dan sebagai timbalan menteri, beliau sepatutnya memperkasakan wanita dengan menegaskan mereka layak untuk bebas daripada keganasan dan ketakutan, selain menegaskan keselamatan kanak-kanak dan wanita adalah keutamaan kementeriannya," katanya dalam kenyataan.

SIS berkata lagi, video itu menunjukkan kementerian tersebut gagal memahami isu dan keadaan dalam sebuah hubungan di mana keganasan rumah tangga berlaku.

Semalam, Siti Zailah memuat naik rakaman video di media sosial, di mana beliau mengakui PKP boleh memberi tekanan kepada keluarga, yang akhirnya menyebabkan masalah keganasan rumah tangga.

Beliau memberikan tiga kaedah untuk meredakan tekanan, termasuk mempunyai sifat menghargai pasangan, memberi kemaafan dan ketaatan kepada agama.

Pada masa sama, Siti Zailah berkata mangsa keganasan rumah tangga perlu menghubungi hotline Talian Kasih kendalian kementeriannya, untuk mendapatkan bantuan.

 

Meskipun beliau tidak berkata secara terang-terangan bawaha wanita perlu menerima, bersabar dan memaafkan pasangan yang bertindak ganas, sejumlah pihak, termasuk aktivis sosial Marina Mahathir, mentafsirkan mesej yang disampaikan konteks keseluruhan video, sebagai demikian.

Sementara itu, SIS berkata Siti Zailah dan KPWKM sewajarnya lebih jelas dalam menyampaikan mesej berkenaan melindungi wanita dan kanak-kanak dalam hubungan yang berlakunya keganasan rumah tangga.

“Siti Zailah perlu menjadikan video Ketua Pengarah Kehakiman Syariah Mohd Na'im Mokhtar berkenaan cara mengendalikan keganasan rumah tangga ketika PKP sebagai contoh.

“Dalam video itu, Mohd Na’im menasihati wanita agar melindungi diri dan anak-anak dengan tidak menjadikan diri sebagai punching bag dan agar ada keberanian untuk meninggalkan rumah jika didera.

“Beloai juga menyebut bahawa wanita tidak akan digelar nusyuz jika meninggalkan rumah dan suami yang mendera, dan kita semua ada tanggungjawab untuk menjaga tubuh kita daripada bahaya," kata NGO itu lagi.

Malaysiakini telah menghubungi timbalan menteri terbabit untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan perkara ini.

Lihat Komen
ADS