Kerajaan tidak membenarkan pasar Ramadan diadakan di seluruh negara sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, perkara itu antara tiga keputusan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin setelah mengambil kira pandangan rakyat, pakar-pakar dan badan bukan kerajaan.
“Semua keputusan ini diambil berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan Covid-19 dan juga pandangan Majlis Keselamatan Negara(MKN) serta PDRM dalam memastikan rakyat mematuhi PKP bagi mengurangkan pergerakan orang rama,” kata Ismail.
PKR setakat ini diumumkan sehingga 28 April.
Dalam sidang media hari ini, Ismail berkata kerajaan juga tidak membenarkan kedai gunting rambut, kedai cermin mata dan salun kecantikan dibuka.
“Pelajar-pelajar di institusi pengajian Tinggi (IPT) kekal di kampus universiti masing-masing sepanjang tempoh PKP.
“Dalam tempoh PKP ini, kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memastikan kebajikan dan makan minum pelajar diutamakan,” katanya.
