Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MAS akan terbang semula ke Sabah, Sarawak minggu ini
Diterbitkan:  Apr 14, 2020 9:47 AM
Dikemaskini: 2:12 AM

Malaysia Airlines Berhad akan memulakan semula penerbangan ke Sabah dan Sarawak mulai minggu ini.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata MAS memaklumkan akan memulakan kembali penerbangan dengan kekerapan seminggu sekali ke dan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri dan Kota Kinabalu.

MAS juga, katanya, akan memastikan penerbangan itu akan dihubungkan oleh MASWings untuk laluan Miri-Bintulu, Kuhcing-Sibu-Kuching dan Sibu-Bintulu.

"Jika permintaan meningkat, mereka akan menambah lebih banyak penerbangan ke Kuching atau Miri atau Kota Kinabalu mulai minggu hadapan.

"Oleh itu negeri Sarawak akan terus dihubungkan dengan semenanjung Malaysia," katanya.

Beliau sebelum itu berkata telah meminta MAS dan Airasia mempertimbangkan semula pemberhentian sementara operasi di laluan itu.

Kenyataannya itu dibuat selepas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah yang tidak bersetuju dengan keputusan dua syarikat penerbangan tersebut dan Malindo membatalkan penerbangan ke negeri itu dari 15 April hingga 30 April.

Bagaimanapun, Wee dalam kenyataannya menjelaskan kementeriannya tidak pernah mengarahkan mana-mana syarikat penerbangan termasuk ketiga-tiga itu untuk menghentikan operasi penerbangan mereka ke Sarawak dan Sabah.

“Pada 26 Mac 2020, AirAsia Group Berhad telah mengeluarkan kenyataan bahawa syarikat berkenaan terpaksa menghentikan sementara operasi mereka bagi penerbangan antarabangsa dan domestik, mulai 28 Mac 2020 hingga 28 April 2020.

“Dalam kenyataan sama, AirAsia menyifatkan ia sebagai langkah terbaik demi kepentingan bersama penumpang dan kakitangan syarikat pada saat berdepan waktu sukar.

“Manakala MAS pula telah menghentikan operasi mereka berikutan jumlah penumpang yang turun mendadak sehingga 10 peratus - 15 peratus.

“Keputusan tersebut terpaksa diambil kerana ia menyebabkan MAS menghadapi kerugian besar dan berupaya memberikan implikasi lebih buruk sekiranya operasi penerbangan diteruskan,” katanya.

Lihat Komen
ADS