CEO TNB tidak hadiri pertemuan dengan DAP
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Che Khalib Mohamad Noh tidak hadir dalam pertemuan yang dijadualkan dengan sekumpulan pemimpin DAP di ibu pejabat TNB di ibu negara pagi tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Che Khalib Mohamad Noh tidak hadir dalam pertemuan yang dijadualkan dengan sekumpulan pemimpin DAP di ibu pejabat TNB di ibu negara pagi tadi.
Che Khalib telah membatalkan pertemuan itu pada saat-saat atas alasan terpaksa menghadiri satu mesyuarat lain.
Rombongan DAP yang diketuai oleh Setiausaha Agungnya DAP, Lim Guan Eng hanya dapat bertemu Ketua Komunikasi Luar TNB, Sidek Kamiso.
Menurut Sidek, Che Khalib tidak dapat hadir kerana beliau ada mesyuarat lain.
Lim telah menyerahkan memorandum DAP mengenai bantahan terhadap kenaikan tarif elektrik sejak 1 Jun lalu kepada Sidek.
Dalam sidang medianya selepas itu, Lim berkata, DAP menentang kontrak pembekalan tenaga oleh pengeluar tenaga bebas (IPP) kepada TNB kerana ia menyebabkan syarikat elektrik nasional itu terpaksa menanggung kos kapasiti sebanyak RM3.3 bilion dan kos tenaga sebanyak RM3.1 bilion setahun.
"Pembelian tenaga daripada IPP itu menyebabkan TNB mempunyai rezab tenaga yang sangat tinggi, sebanyak 40 peratus, paling banyak di dunia ini.
" Ini sangat tidak adil kerana rakyat yang terpaksa menanggung beban kos tersebut," kata beliau.
Menurut Lim, jika tidak kerana bebanan kos IPP ini, TNB boleh menggunakan hasil daripada kenaikan tarif sebanyak 12 peratus yang sebanyak RM1.5 bilion itu untuk mengembangkan operasinya, bukannya menampung beban IPP itu.
Sehubungan itu beliau mencadangkan TNB hanya membayar separuh daripada jumlah yang dikenakan oleh IPP terhadap mereka.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya mencari jalan penyelesaian yang menguntungkan ketiga-tiga pihak, IPP, TNB dan pengguna, bukannya memindahkan beban kos kepada pengguna.
Tidak adil
" Sepatutnya dicari jalan untuk mengurangkan margin rezab tenaga TNB dan bayaran kapasiti kepada IPP. Kalau ini dapat dibuat, kenaikan tarif elektrik tentu dapat dielakkan," katanya lagi.
Lim juga menyatakan adalah suatu yang tidak dapat diterima dan tidak adil serta di luar kepentingan nasional apabila TNB yang mendapat subsidi terus RM11 bilion dan IPP menekmati bantuan secara tidak langung sebanyak RM14 daripada Petronas sejak tahun 1997 membebankan rakyat dengan kenaikan tarif elektrik.
DAP juga menggesa kerajaan mengkaji semula semua perjanjian dengan IPP kerana di bawah perjanjian sekarang, IPP menjalankan perniagaan tanpa risiko.
"Perjanjian yang ditandatangani TNB dengan IPP menghendaki semua kos inflasi ditanggung oleh TNB dan ini bermakna IPP sentiasa dijamin keuntungannya,"ujar beliau lagi.
Sementara itu, Sidek menjelaskan data 60 peratus pengguna yang tidak terjejas oleh tarif elektrik kali ini diperolehi dari daftar bil bulanan pengguna TNB.
" Senarai pengguna kami menunjukkan 60 peratus daripada mereka menggunkana eletkrik kurang daripada RM44 sebulan,"katanya.
Beliau juga menyatakan, kenaikan kadar tarif itu juga adalah kecil dan ini tidak akan menjadi fakor utama kepada kenaikan harga barangan di negara ini.

