Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH tuntut Muhyiddin panggil sidang khas parlimen
Diterbitkan:  Apr 14, 2020 7:33 PM
Dikemaskini: 11:33 AM

KORONAVIRUS | Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memanggil sidang khas Parlimen minggu ini bagi merangka pendekatan dwipartisan dalam memerangi wabak Covid-19.

Dalam kenyataan dikeluarkan petang ini, Majlis Presiden PH berkata, langkah tersebut perlu diambil bagi mencari jalan melindungi pekerja dan menyediakan peluang ekonomi bagi mereka yang bakal kehilangan pekerjaan pada waktu terdekat, seterusnya menyelamatkan ekonomi negara.

“Mengetengahkan perbincangan mengenai pekerjaan sebagai keutamaan rancangan kerajaan untuk ekonomi adalah penting.

“Malangnya, ini tidaklah dicerminkan dalam rancangan kerajaan setakat ini,” katanya.

Menurut Majlis Presiden PH lagi, apa yang dikemukakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam pakej mereka setakat ini lebih menjurus kepada langkah jangka pendek, dan tidak merangkumi sebahagian golongan pekerja seperti yang bekerja di sektor tidak formal dan bekerja sendiri.

Menurut majlis itu, dunia bakal menghadapi krisis ekonomi yang dijangka lebih buruk daripada kemelesetan besar pada 1929, krisis kewangan Asia 1997-1998 , atau krisis kemelesetan dan kewangan dunia pada 2008.

Setakat ini, kata PH, sebanyak 17 juta pekerja hilang pekerjaan di Amerika Syarikat hanya dalam tempoh tiga minggu, manakala di Malaysia wabak yang melanda dijangka bakal menyebabkan 2.4 juta orang hilang pekerjaan.

Justeru, majlis itu mengusulkan agar sidang khas Parlimen dijalankan dengan jumlah kehadiran minimum, dengan mengambil contoh apa yang dilakukan Parlimen Kanada baru-baru ini.

PM perlu buktikan kesediaan

Pada sidang berkenaan, hanya 32 daripada 338 ahli Parlimen hadir dan selaras dengan tuntutan penjarakan sosial.

Majlis Presiden PH turut menyatakan kesediaan mereka untuk mempertimbangkan perbahasan parlimen secara maya bagi memastikan keupayaan mentadbir dan memimpin negara dalam masa yang sukar ini tidak terhalang.

“Parlimen adalah badan tertinggi yang mewakili semua rakyat Malaysia. Semasa krisis, Parlimen adalah saluran untuk suara wakil rakyat kita untuk didengar, dinyatakan dan dibahaskan.

“Kita memerlukan penyelesaian dwipartisan dan menunjukkan solidariti kepada rakyat Malaysia dalam menghadapi cabaran terbesar yang dihadapi negara.

“Perdana Menteri perlu menunjukkan bahawa beliau bersedia untuk memudahkannya dengan mengadakan sidang khas Parlimen dengan segera,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Sidang biasa parlimen dijadualkan berlangsung pada 18 Mei ini. 

Lihat Komen
ADS