Terjemahan Forum Profesional Islam (MPF) menggesa kerajaan berhenti menggunakan Akta Keselamnatan Dalam Negeri (ISA) sebagai cara menangani ancaman keganasan.

Pengerusi MPF, Dr. Mazeni Alwi berkata, tindakan menahan individu yang disyaki pengganas di bawah ISA bertentangan dengan prinsip keadilan dan kebebasan.

"Kami rasakan undang-undang yang sedia memadai untuk menangani9 kieganasan dan mereka yang ditahan di bawah ISA perlu diberikan pengadilan yang adil dan terbuka."

"Jika perlu, sebuah undang-undang anti-keganasan yang tidak mencabul hak asasi dan kebebasan fundamental perlu digubal bagi menangani masalah ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, ketika anggota Kumpulan Mujahiden Malaysia dan Jemaah Islamiyah ditahan, mereka tidak dibicarakan di mahkamah terbuka dan penahanan terbaru ini makin merosakkan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

"Kami menggesa pihak berkuasa mendakwa semua tahanan berkenaan di mahkamah terbuka dan biarkan sistem kehakiman negara mengadilinya secara bebas dan adil,"tekan beliau lagi.

Minggu lalu polis menahan 12 lelaki yang disyaki anggota kumpulan militan Darul Islam yang berpangkalan di Indonesia yang dikatakan merancang beberapa serangan di negara jiran.

Anggota kumpulan itu, dua daripadanya rakyat Malaysia ditahan di beberapa tempat di Sabah setelah diintip aktiviti mereka selama enam bulan.

Dr.Mazeni juga menggesa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menerajui langkah memerangi keganasan yang dilakukan oleh kumpulan yang menggunakan nama Islam.

"Tindakan keganasan yang bertopengkan agama adalah satu jenayah, oleh itu ia mesti di kecam oleh semua pihak," katanya.

Bagaimanapun katanya, usaha memerangi keganasan tidak boleh hingga mengorbankan hak asasi manusia terutama hak mendapat pengadilan dan bersuara. Berita asal