Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahmad dakwa YB Umno 'tak merasa' peruntukan kerajaan

Satu sen pun tak ada - itu dakwaan Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Said, berhubung wang peruntukan untuk wakil-wakil rakyat parti itu di negeri berkenaan untuk membantu rakyat semasa wabak Cobid-19.

Menurut bekas menteri besar Terengganu itu, sudah ada tiga fasa bantuan disalurkan kerajaan negeri - yang dipimpin oleh PAS - setakat ini namun Adun Umno belum menerimanya.

Beliau juga mendakwa jumlah peruntukan yang ditetapkan tidak adil di antara Adun PAS dan Umno walaupun kedua-dua parti itu membentuk Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional (PN).

"Semalam YB Wan Sukhairi menafikan dakwaan saya bahawa kerajaan negeri tidak memperuntukkan satu sen pun bantuan Covid-19 kepada Adun Umno-BN.

"Kerajaan Terengganu sebelum ini sudah mengeluarkan bantuan fasa satu, dua dan tiga.

"Dalam ketiga-tiga fasa ini, satu sen pun tidak diperuntukan atau disalurkan melalui saya dan rakan-rakan Adun daripada Umno dan BN," katanya

"Suka sekali lagi saya jelaskan sehingga kini ADUN Umno-BN Terengganu tidak menerima satu sen pun peruntukan kerajaan negeri bagi bantuan covid-19," katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Ahmad berkata demikian merujuk kepada kenyataan Exco Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, yang sebelum ini menafikan dakwaan dibuatnya.

RM10j untuk kerajaan negeri

DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi dengan 22 daripadanya dikuasai PAS. Menteri besar negeri itu ialah Dr Samsuri Mokhtar yang juga naib presiden parti berkenaan.

Di sebalik pembentukan Muafakat Nasional - dan kemudian PN - kerajaan negeri masih dikendalikan oleh PAS dengan tiada seorang pun wakil Umno dibawa menjadi salah seorang exco negeri.

Sebuah lagi kerajaan negeri yang dalam keadaan begitu ialah Kelantan.

Kata Ahmad ketika wakil rakyat PAS menerima dana sebanyak RM350,000 seorang, Adun Umno pula diberikan hanya sebanyak RM45,000.

Bagi pegawai penyelaras DUN PAS - yang ditugaskan di kawasan PAS kalah - mereka menerima dana sebanyak RM305,000.

"Baru-baru ini kerajaan pusat menyalurkan peruntukan RM10 juta bantuan Covid-19 untuk rakyat melalui akaun kerajaan negeri.

"Sebanyak RM300,000 disalurkan kepada setiap DUN, tetapi bagi Adun Umno-BN cuma RM45,000 sahaja diagihkan melalui kami, bakinya disalurkan kepada penyelaras DUN PAS.

"Perkara sebegini tidak berlaku di negeri Perikatan Nasional (PN) yang lain seperti Perlis dan Pahang," katanya.

Sementara itu mengulas apakah beliau sudah berhubung dengan Ahmad Samsuri berhubung perkara itu, Ahmad berkata, tiada apa yang perlu diperkatakan lagi.

Sambut 'gendang' dipalu

"Nak bercakap apa lagi? Memang menteri besar dah tahu sebab dia yang hantar siapa-siapa dia nak bagi.

"Ketua penerangan dia bagi tahu semalam.

"OK, peruntukan ini bukan untuk wakil rakyat Umno, bukan untuk wakil rakyat PAS tetapi untuk rakyat.

"Kemudian dia kata dah bagi RM45,000. Itu kita tak dipertikaikan, RM45,000 itu awal lagi kerajaan negeri bagi, tapi masalahnya sekarang RM10 juta itu diberikan oleh kerajaan pusat. Kenapa tak bagi kita?" soalnya.

Malah Anggota Dewan Negeri (Adun) Kijal itu berkata beliau sendiri telah turun ke setiap kawasan bagi memastikan bantuan yang dimaklumkan kerajaan negeri itu.

Bagaimanapun, kata Ahmad Said beliau kesal dengan apa yang berlaku.

Ahmad Razif

"Sekarang ini kita (Umno) pergi ke kampung-kampung tanya, dia bagi kepada wakil rakyat dia tapi tak beritahu kita dan diberikan secara sembunyi-sembunyi.

"Orang-orang dia, orang PAS sahaja dia bagi. Orang lain dia tak bagi.

"Dia cakap sedap, ini untuk rakyat tetapi kenapa ia (bantuan) tak sampai. Yang dapat hanya orang-orang PAS.

"Covid-19 ini tak kira siapa dan duit itu bukan dari kerajaan negeri, kalau dari kerajaan negeri kita tak pertikaikan. Tapi ini dari pusat," katanya.

Ketika diminta mengulas apakah kerajaan Terengganu kini perlu bersikap lebih adil dalam perkara tersebut, Ahmad enggan berbuat demikian.

"Tak payah beritahu (minta kerajaan negeri bersikap lebih adil), tak payah. PAS ini memang dari dulu, tapi kita nak beritahulah kalau macam itu gendang dia, kita akan sambut gendang dia macam itu. Tak ada masalah," katanya.

Pada 12 April lalu, Ahmad Said dilaporkan meminta agar kerajaan negeri menyalurkan peruntukan sebanyak RM10 juta daripada kerajaan Pusat bagi menangani krisis Covid-19 di setiap negeri secara sama rata kepada wakil rakyat.

Ahmad Said berkata, peruntukan itu amat penting untuk mereka agihkan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Sementara itu, seorang lagi bekas menteri besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman, yang dihubungi Malayasiakini turut mengesahkan perkara itu.

Menurut Ahmad Razif, sehingga kini beliau hanya menerima peruntukkan RM45,000 sahaja dari kerajaan negeri.

"Saya agih saja bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan dan sebagainya macam biasa menggunakan sumber-sumber sedia ada.

"Kita pun adalah sikit-sikit peruntukan, peruntukan RM45,000 yang diberikan sebelum ini tu kita belanja habislah," katanya ringkaskepada Malaysiakini.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu, Mohd Adram Musa, yang dihubungi Malaysiakini pula enggan mengulas lanjut perkara tersebut.

"Menteri besar tak akan respon berita bersifat provokatif dan yang tak produktif," katanya.

Lihat Komen
ADS