Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saudaraku, di sebalik ujian ada rahmat' - Ebit Lew
Diterbitkan:  Apr 15, 2020 9:29 PM
Dikemaskini: 1:30 PM

"Jarang saya menangis begini. Betul-betul rasa insaf dan bersyukur" – itu antara nukilan Ebit Lew setelah menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas dengan situasi penularan wabak Covid-19.

Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dilaksanakan, pendakwah Islam terkenal itu dilihat gigih menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan tanpa mengira warna kulit.

Hari ini, beliau memuat naik satu video ketika menyantuni warga emas berketurunan Cina bagi memberikan bantuan berupa barangan keperluan asas kepada mereka.

Mereka yang dibantu juga dilihat terharu menerima sumbangan dan tidak putus-putus mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan pendakwah itu.

Video menyentuh hati yang dimuat naik di media sosial itu meraih lebih 300,000 tanda suka di Instagram, manakala lebih 300,000 lagi tanda suka lagi di Facebook.

Tulis Ebit, ia merupakan hari yang menyedihkan melihat kesusahan dihadapi golongan berkenaan.

“Hari air mata, tidak boleh tahan masuk kawasan Cina, semua macam atuk nenek saya. Saya cina. Sebak bila ada ramai makcik menangis bila bagi duit belanja dan barang dapur.

“Mereka siap doakan dan beri ucapan yang buat saya sebak. Maafkan saya pakcik makcik semua baru hari ini saya datang ke sini. Sedih rasa,” katanya menerusi akaun Instagram.

View this post on Instagram

Hari air mata. Tak boleh tahan air mata masuk kawasan chinese. Semua macam atuk nenek saya. Saya cina. Sebak bila ada ramai auntie menangis bila bagi duit belanja dan barang dapur. Mereka siap doakan dan beri ucapan yang buat saya sebak. Maafkan saya pakcik makcik semua baru hari ini saya datang ke sini. Sedih rasa. Tak sangka ramai yang saya jumpa kali ini semuanya tinggal seorang diri. Rumah pun teruk. Tak sangka sekitar kl ada rumah begini dan ada yang rumahnya tiada air. Pakai perigi lagi. Ada ramai uncle auntie cuma ada basikal. Sayunya hati. Ramai lagi saya akan pergi. Walau cuma dapat bawa sedikit kegembiraan pada mereka. Ada yang kejar saya bawa ic. Sedih. Pakcik makcik tak payah bagi saya ic. Semua boleh. Tapi bersih jer semua rumah. Sayu rasa. Siap ada yang tiba-tiba ada yang tunduk sangat macam orang jepun. Cakap terima kaseh. Ulang kali mereka angguk-angguk terima kaseh. Saya ada janji beberapa orang untuk bantu rumah dan lain-lain. Terasa macam ziarah keluarga sendiri. Ada yang minta saya tolong cari anak-anaknya. Ada kerja toreh getah tapi dah tua tak sihat nak buat semua tu. Ada makcik umur dah 90 tahun duduk seorang diri. Dalam kereta tadi menangis jer rasa sebak. Jarang saya menangis begini. Betul-betul rasa insaf dan bersyukur. Terima kaseh ada abang Lechumanan dan Hock chinese tempatan dan Abang Azman dan kawan-kawan bersama team saya pertubuhan kasih Umat Malaysia. Terima kaseh semua sahabat team pertubuhan kasih umat Malaysia dan semua yang turut bersama dalam doa dan yang menyumbang bersama. Hanya Allah membalasnya semuanya. Kita semua sebuah keluarga. Orang-orang tua inilah asam garam dan kebaikan dalam dunia ini-ebitlew Pertubuhan Kasih Umat Malaysia cimb 8603546376

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew) on

 

Tambah pendakwah berdarah keturunan Cina itu, ramai warga emas yang ditemui tinggal sendirian dalam keadaan rumah yang usang.

"Tak sangka sekitar Kuala Lumpur ada rumah begini dan ada yang rumahnya tiada air. Pakai perigi lagi. 

"Ramai makcik dan pakcik cuma ada basikal. Sayunya hati," katanya yang mempunyai lebih 2 juta pengikut di Facebook.

'Kita semua sebuah keluarga'

Menurut Ebit, dia akan terus menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama mereka.

"Ada yang kejar saya bawa IC (kad pengenalan). Sedih. Pakcik makcik tak payah bagi saya IC. Semua boleh (dibantu),”tulisnya lagi.

Terdahulu, sehari sebelumnya Ebit memuat naik rakaman video memaparkan kesusahan dihadapi beberapa keluarga Melayu.

"Sebak bila jumpa akak-akak dan anak-anak di kawasan ini. Mereka sewa bilik. Tandas pun share dengan bilik lain. Kecil je. Macam stor je. Anak ramai-ramai. Ada 5 orang ke 7 orang anak. 

"Masuk rumah mereka menitis air mata. Dari tangga naik dah menangis. Masuk bilik je terus air mata laju menangis. Susahnya hidup mereka.

"Saudaraku, disebalik ujian ada rahmat," tulisnya lagi yang menyampaikan bantuan tersebut menerusi tabung Pertubuhan Kasih Umat Malaysia.

Dalam satu lagi rakaman yang dikongsikan di media sosial, Ebit juga dilihat menghulurkan bantuan kepada warga emas berbangsa India beberapa hari lalu.

“[…] ada seorang pakcik ini menumpang di sebuah bilik kecil dekat kilang bersama isteri. Dia lumpuh langsung tak boleh bergerak dan tiada kerja tak boleh bercakap. Patutnya bulan 12 tahun lepas dah tak boleh duduk situ kawasan kilang lama.

“Habis Covid-19 dah kena keluar rumah. Sedih tengok pakcik dan makcik itu. 

“Mereka tiada rumah nak tinggal. Saya cuba usahakan nak cari rumah untuknya. Doakan ya. Sedih rasa. Ramai orang susah-susah perlukan bantuan.

“Kita semua sebuah keluarga. Sayang pada mereka,' tulisnya.

Sejak bermulanya pandemik Covid-19, Ebit juga dilihat membantu petugas barisan hadapan dengan membekalkan mereka makanan dan peralatan perubatan.

Pengguna media sosial rata-rata meluahkan rasa terharu dengan keikhlasan Ebit dan hampir semua meninggalkan pujian dan komen positif.

“Tahniah. Ustaz lah salah satu ikon mualaf yang membawa kebaikan kepada agama Islam .Jazakallah,” tulis seorang pengguna Instagram hairi6097

“Semoga Allah panjangkan umur Ustaz dan dipermudahkan segala urusan. Aamin,” kata pengguna akaun Instagram Narimah63.

Lihat Komen
ADS