Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Majlis akad nikah di Perak hanya dibenarkan di Pejabat Agama Islam Daerah selaras dengan lanjutan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula semalam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Mohd Yusop Husin berkata majlis itu hendaklah dikawal selia oleh Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah atau wakilnya, untuk memastikan beberapa perkara dipatuhi antaranya tidak berjabat tangan ketika lafaz Ijab dan Qabul, tiada upacara lain seperti sarung cincin dan bergambar.

"Majlis yang hanya boleh dihadiri jurunikah, dua saksi, pasangan pengantin dan seorang wali dari pihak pengantin perempuan juga perlu mematuhi langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis boleh dijalankan sebanyak tiga kali sehari sahaja, dengan setiap sesi dihadkan kepada 30 minit dan proses dokumentasi, manakala pengeluaran Sijil Perakuan Nikah hendaklah ditangguhkan dan disempurnakan selepas tamat tempoh PKP.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata bayaran zakat harta boleh dilakukan secara dalam talian menerusi beberapa platform seperti QR Code Maybank, aplikasi Snap N Pay, GoPayZ dan Financial Process eXchange (FPX) melalui Portal MAIPk.

Beliau berkata pelaksanaan kutipan zakat fitrah kaedah manual oleh amil juga akan diwujudkan menerusi kaunter pandu lalu di masjid-masjid utama antara pukul sembilan pagi sehingga 12 tengah hari pada hari Selasa, Rabu, Sabtu dan Ahad.

"Kaedah bayaran secara langsung menerusi pertemuan antara amil dengan pembayar pula hanya dilaksanakan sekiranya warga tua yang uzur dan tidak mempunyai kemahiran menggunakan kemudahan dalam talian serta masyarakat yang berada di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan alat komunikasi dan akses internet yang baik," katanya.

Menurut Shahrul Azam, amil akan bergerak dari rumah ke rumah menemui pembayar di tempat tertentu seperti halaman rumah dan di hadapan pintu sahaja bagi mengurangkan pergerakan serta perkumpulan masyarakat dalam jumlah yang ramai ketika tempoh PKP.

Perak turut mengekalkan Kadar Zakat Fitrah dengan kadar pilihan RM7, RM14 dan RM21 namun Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah membenarkan masyarakat yang kurang berkemampuan membayar zakat fitrah bagi diri dan harus menjelaskan sebahagian bagi tanggungan pada kadar kemampuannya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS