Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri perjelas proses operasi perniagaan dalam fasa 3 PKP
Diterbitkan:  Apr 17, 2020 12:07 PM
Dikemaskini: 4:07 AM

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) Alexander Nanta Linggi menjelaskan tentang sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi pada fasa ketiga perintah kawalan pergerakan (PKP) serta proses permohonannya.

“Di bawah tempoh PKP fasa satu dan dua, KPDNHEP telah memberikan pengesahan kebenaran beroperasi bagi pemain-pemain industri yang terdiri daripada pengedar, pemborong, peruncit dan e-dagang dalam memastikan rakyat terus mendapat akses kepada keperluan asas dan produk kritikal sepanjang tempoh PKP.

“Bagi mengimbangi kelangsungan ekonomi negara, kerajaan telah bersetuju untuk mengambil langkah pro-aktif dan responsif untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berperingkat (dalam fasa ketika PKP),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya lagi, syarikat yang menjalankan aktiviti rantaian makanan, e-dagang serta perkhidmatan penghantaran yang telah menerima kebenaran daripada KPDNHEP pada PKP fasa pertama dan kedua tidak perlu mengemukakan permohonan baru.

Bagaimanapun, sektor tersebut yang masih belum mendapat pengesahan kementerian perlu membuat permohonan baru.

Sementara itu, terdapat beberapa sub sektor tambahan yang dibenarkan operasi di bawah kawal selia kementerian.

Sektor terbabit adalah kedai alatan (hardware), kedai barangan elektrik dan elektronik (tidak termasuk peralatan telekomunikasi dan ICT), serta perkhidmatan dobi bukan layan diri.

Kesemuanya perlu mengemukakan permohonan untuk beroperasi ketika PKP menerusi laman sesawang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

“Hanya permohonan yang menepati syarat prosedur operasi standard (SOP) dan lengkap sahaja akan dipertimbangkan.

“Permohonan yang diterima selain daripada melalui portal tersebut (Miti) tidak akan diproses,” katanya.

Jelas Alexander, syarikat terbabit juga perlu memastikan lokasi perniagaan mereka tidak berada di kawasan zon merah, zon kuning atau di kawasan perintah kawalan diperketatkan (PKPD).

Katanya lagi, perniagaan tersebut akan dikawal selia oleh kementerian dan syarikat perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negera (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Jika syarikat melanggar peraturan tersebut, kebenaran beroperasi mereka akan ditarik balik.

PKP, yang dilaksanakan sejak 18 Mac selama dua minggu telah dilanjutkan sebanyak dua kali, iaitu pada 14 April dan kini sehingga 28 April. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS