Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Alhamdulillah, sehari dua ini rakyat berbicara tentang industri buluh. Sama ada positif atau negatif ia tetap satu promosi buat industri ini.

Ia satu permulaan yang baik, tatkala sudah ramai pelabur dan usahawan menghubungi saya untuk mendapatkan perincian dan memohon temu janji di samping pemain industri yang menyambut baik hasrat saya memperkasakan industri ini.

Insya-Allah, industri ini akan saya berikan perhatian sewajarnya. Oleh kerana itu, saya masukkan nota makluman dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu lepas sebelum membuat kenyataan media tentangnya.

Saiz pasaran nilai industri buluh dunia ialah AS$68.8 bilion pada 2018. Malangnya, Malaysia hanya menyumbang nilai eksport sebanyak RM9.971 juta sahaja pada 2018 dan semakin merudum kepada RM9.164 juta pada 2019. Sangat jauh penurunan berbanding 2017 iaitu RM20.957 juta.

Sebab itulah saya melihat pembangunan industri buluh bukan sekadar sebagai cadangan alternatif kepada para pekebun kecil tetapi lebih jauh daripada itu sebagai program game changer yang perlu diperkasakan sebagai satu lagi komoditi yang menjanjikan kepada rakyat dan negara.

Saya melihat pembangunan industri buluh sebelum ini agak terbantut kerana masalah kekurangan strategi yang menyeluruh ke atas industri ini menyebabkan tiadanya jalinan, komunikasi dan koordinasi yang kuat di antara pelbagai institusi berbeza yang terlibat di dalamnya.

Bekalan buluh sangat bergantung kepada hasil hutan yang dituai kebanyakannya oleh Orang Asal. Justeru, perladangan komersial yang serius perlu diperkasakan.

Untuk itu, Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) diperkenalkan oleh kementerian sejak 2007 dan diperkasakan lagi di bawah Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2011-2020.

Dituai selama 100 tahun

Sehingga kini, belum ada syarikat yang berjaya memulakan proses perladangan di bawah program ini meskipun pinjaman mudah disediakan sejak 2014.

Pada 2020, sebanyak RM15 juta telah diperuntukan untuk pinjaman mudah ini.

Pinjaman mudah PPLH sebelum ini adalah pinjaman konvensional menerusi Forest Plantation Development Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia dengan kadar faedah dan bunga 3 peratus.

Komitmen saya ialah menukarnya kepada pembiayaan Islam yang bebas riba bagi menyelamatkan rakyat dalam kalangan Muslim dari penglibatan dengan sistem pinjaman yang haram.

Pembiayaan diberikan sebanyak RM10,000 per hektar dengan bayaran hanya bermula pada tahun ketujuh selama sembilan tahun. Kos penanaman dijangka sekitar RM14,000 hingga RM18,000 sehektar, bergantung kepada keadaan tanah tersebut.

Setiap hektar boleh ditanam sebanyak 400 rumpun. Selepas tiga hingga empat tahun ia dijangka dapat dituai dengan hasil kasar sebanyak RM32,000 per hektar.

Ia boleh dituai sebanyak 2 kali setahun untuk tuaian di tahun pertama dengan kadar penebangan sebanyak 40 peratus sahaja setiap tuaian. Untuk seterusnya pokok buluh boleh terus membiak untuk dituai setiap tahun selama 100 tahun.

Pengeksport utama buluh dunia

Untuk 2020, peruntukan sejumlah RM6 juta disediakan bagi membangunkan Makmal Tisu Kultur dan Tapak Semaian dan Penyelidikan Buluh seluas 1.72 hektar di Lahat, Perak.

Ia bagi memastikan pengeluaran benih pokok buluh berkualiti secara berterusan untuk spesies yang boleh dikomersialkan.

Saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada MTIB bagi membangunkan Model Ladang Buluh seluas 5 hektar yang boleh menjadi rujukan pada industri dan masyarakat.

Dua hari lepas saya telah menyatakan hasrat kementerian saya kepada Menteri Besar Terengganu - ketika lawatan beliau ke pejabat saya - untuk bekerjasama membangunkan Model Ladang Buluh ini di Terengganu. Ia boleh menjadi aset pelancongan bagi negeri. Perbincangan lanjut akan dibuat selepas ini.

Selepas wabak Covid-19 berakhir, saya bercadang untuk melakukan kunjungan ke China yang mempunyai industri buluh terbesar di dunia, dengan nilai pengeluaran sebanyak AS$39.6 bilion pada 2018 dan penguasaan pasaran buluh dunia sebanyak 58 peratus.

Kunjungan ini bagi mempelajari bagaimana industri buluh berkembang begitu maju di negara tersebut.

Kunjungan ke China ini dijangka akan membolehkan saya merangka satu dasar yang lebih holistik ke arah memajukan industri buluh di negara kita, khususnya bagi membolehkan negara kita menjadi salah sebuah pengeksport buluh yang utama di dunia.

Saya melihat industri buluh ini mempunyai masa hadapan yang sangat cemerlang sekiranya diberikan fokus dan perancangan yang baik serta tersusun.

Saya sangat positif dan berkeyakinan tinggi bahawa ia boleh menjadi satu lagi komoditi yang memberi peluang pekerjaan dan pendapatan yang lumayan untuk rakyat dan negara.


Dr Khairuddin Aman Razali ialah menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap ahli parlimen Kuala Nerus, Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS