Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang dengan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Menteri Pertahanan, Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian ditanya mengenai "individu berjawatan tinggi" yang berkumpul beramai-ramai dan melanggar PKP.

"Untuk sesiapa sahaja, saya dah sebutkan, tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang. Itu asasnya.

"Jadi saya difahamkan sudah ada tiga laporan polis yang telah pun dilakukan. 

"Oleh itu kita serahkanlah kepada pihak polis untuk meneruskan tindakan," katanya pada sidang akhbar yang diadakan secara dalam talian hari ini.

Gambar beberapa pemimpin Perikatan Nasional melakukan lawatan dan menikmati hidangan makanan beramai-ramai dikongsi secara meluas di media sosial sejak beberapa hari lalu, sehingga mengundang banyak kritikan.

Antaranya dilakukan oleh Timbalan Menteri Kesihatan sendiri iaitu Noor Azmi Ghazali.

Ini selepas beliau bersama exco kerajaan negeri Perak, Razman Zakaria dilihat menikmati makanan secara berkumpulan dalam satu majlis.

Malaysiakini sudah menghubungi Noor Azmi, bagi mendapatkan ulasan dan sedang menunggu maklum balas.

Selain itu tular gambar Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar mengunjungi bekas menteri besar Ahmad Said di kediamannnya di Teluk Kalong, Kemaman ketika tempoh PKP masih berkuatkuasa.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin meyifatkan Noor Azmi sebagai tidak menunjukkan teladan yang baik.

Mohamed Khaled juga menyorot bahawa menteri di negara lain meletakkan jawatan kerana perkara seumpama itu.

Sementara itu, Ismail berkata bahawa polis membuat 1,565 tangkapan semalam, iaitu 508 lebih banyak berbanding hari sebelumnya.

Seramai 13,639 orang telah ditangkap sejak PKP bermula.

Dengan Ramadan yang semakin hampir, Ismail berkata bahawa polis akan membuat lebih banyak sekatan jalan raya.

Beliau justeru menasihati rakyat agar terus mematuhi PKP.

"Kita dah nampak kejayaan hasil PKP yang kita perkenalkan.

"Maka kita sepatutnya membantu kerajaan untuk memastikan sifar Covid-19.

"Kita harus terus tidak melakukan (menerhadkan) pergerakan untuk memastikan tidak ada lagi kes Covid-19 baru dan dapat menamatkan PKP," katanya.

Lihat Komen
ADS