Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Beri makanan ikut keperluan penerima, elak pembaziran'

Yang terbaik untuk kita, tidak semestinya terbaik untuk penerima, itu antara nasihat yang perlu difikirkan mereka yang ingin memberikan sebarang bentuk sumbangan kepada mana-mana pihak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ketika pelbagai pihak seperti individu, syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) berlumba-lumba untuk menderma, ia seharusnya mengambil kira keperluan serta norma hidup bakal penerima bagi mengelak pembaziran.

Alya Syahida Allias, penggerak utama NGO Science of Life Studies 24/7 berkata berdasarkan pengalamannya, pemberian makanan siap dimasak kepada petugas kesihatan dilihat kurang bersesuaian dengan situasi kerja mereka yang sedang 'berperang' dengan pandemik Covid-19.

"Kita tak tahu bila waktu rehat doktor dan jururawat ini. Bila sampai masa rehat, kadangkala makanan itu dah rosak. Jadi lagi sesuai beri minuman paket, makanan jenis berkhasiat tapi senang dimakan dan tahan lama seperti roti dan bar tenaga," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bersesuaian dengan situasi semasa Covid-19, adalah lebih baik juga jika NGO dan kumpulan bebas memberikan sumbangan dalam bentuk pakaian pelindung diri (PPE), satu keperluan utama bagi petugas kesihatan barisan hadapan ketika mendepani wabak itu.

"Ada pihak hospital menyarankan agar membantu mereka dengan kelengkapan perubatan berbanding makanan. Dalam keadaan sekarang, mereka menghadapi situasi kekurangan PPE," katanya.

Alya Shahida berkata perkara sama boleh dipraktikkan kepada golongan gelandangan dan komuniti asing iaitu dengan mengenal pasti keperluan sebenar mereka.

"Pengalaman saya, saya dan rakan-rakan pernah teruja sumbangkan pizza kepada komuniti Kemboja di Paya Jaras tapi anak-anak tu semua nak buka kotak pizza pun tak pandai.

"Bila dah buka, semua tidak lalu makan topping atas tu. Bila kita tanya, mereka nak roti canai kuah ayam, bila kita bawak roti canai, makan bertambah sampai tak cukup," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Chow Kit R Ananti pula berkata NGO ataupun individu seharusnya bekerjasama antara satu sama lain agar isu pembaziran makanan ekoran lambakan sumbangan bahan itu kepada hospital dan barisan hadapan dapat diatasi.

Beliau berkata tumpuan kini lebih terarah kepada kerjasama mengagihkan bantuan, khususnya bekalan makanan, agar tidak berlaku pertindihan kerja.

"NGO kini pun dah banyak yang bekerjasama bagi sebarang pengagihan untuk mengelak lambakan bantuan sebab kita dah tahu kawasan A, NGO A hantar barang. Kawasan B, NGO B yang hantar makanan.

"Sekarang kebanyakan orang telah berubah fikiran dan beri makanan kering seperti beras, mihun dan sardin," katanya.

Ananti berkata jika dibandingkan dengan fasa awal jangkitan COVID-19 di Malaysia, jumlah bantuan bekalan makanan siap dimasak pada peringkat itu memang banyak dan kebanyakannya rosak kerana tidak sempat dijamah oleh pasukan perubatan khususnya.

"Namun kini pembaziran makanan mungkin sudah agak berkurangan berbanding permulaan COVID-19 kerana kebanyakan hospital sudah memaklumkan yang mereka tidak perlukan makanan.

"Sekarang pun NGO dan individu sudah kurang bagi makanan yang siap dimasak kepada pasukan perubatan dan lebih fokus kepada pemberian PPE," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS