Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zamihan: Nikah online hukumnya harus buat 'Mak Jan, Pak Uda'

ULASAN | Nikah online (secara dalam talian) sah jika syarat pelaksanaan akadnya dipenuhi. Boleh rujuk kitab Syarh Qanun Ahwal Sakhsiyyah, 1997 oleh Dr Mahmud Al-Syarthawi, halaman 67.

Dalam konteks Malaysia, urusan ini terjamin apabila ia dilaksanakan oleh jurunikah kerajaan. Fatwa Negeri Sembilan tahun 2012 dan Fatwa Selangor 2016 boleh dirujuk.

Walaupun amalan nikah dalam talian tidak pernah dilakukan Nabi SAW, para sahabat dan tabiin, namun ia merupakan satu pendekatan semasa mengikuti illah (keperluan) tertentu.

Kaedah fiqh menyebutkan: "Kesukaran membawa kesenangan."

Saya percaya bahawa pihak berkuasa agama membenarkan urusan ini bagi kes pasangan yang telah mendaftar dan merancang pernikahan mereka pada bulan ini.

Dan pasangan pengantin pula sudah tidak lagi mampu bersabar menahan godaan hawa nafsu. Khususnya melibatkan 'Mak Jan dan Pak Uda'. Maka pelaksanaan nikah secara online dalam konteks ini adalah harus.

Kaedah fiqh: "Hukum hakam itu berkisar kepada kewujudan dan ketiadaan alasannya."

Jadi agak keterlaluan jika kita menuduh pihak berkuasa agama yang menjalankan nikah dalam talian ini cuba mempermainkan agama atau melabel mereka sebagai pembuat bidaah sesat. Nauzubillah.

Khuatir manipulasi nikah batin, mutaah

Tanbih! Walaupun nikah secara dalam talian sah secara bersyarat, namun ia juga terdedah kepada gharar (tipu daya) melibatkan pengantin, saksi dan wali apabila seseorang melakukan urusan pernikahan melalui jurunikah tidak bertauliah atau sindiket.

Selain itu, amalan nikah online (tanpa melalui jabatan agama) juga dikhuatiri dimanipulasi pihak tertentu secara talfiq mazhab, membuka ruang kumpulan pengganas merekrut ahli, kumpulan Syiah menjalankan urusan nikah mutaah dan geng sesat untuk melakukan nikah batin.

Cuma bagi saya, urusan nikah sewajarnya ditangguhkan dahulu pada musim PKP ni. Logiknya, kedua bakal pengantin tidak akan meninggal dunia jika tidak dinikahkan dengan kadar segera.

Hatta jika bernikah dalam talian sekalipun kita pasti mengundang lebih 10 orang di dua lokasi pernikahan berbeza. Ertinya pernikahan online pasti melibatkan lebih 20 orang dalam satu-satu masa.

Gambar hiasan, majlis pernikahan online di negara jiran Indonesia.

Tentunya ‘perkumpulan’ sebegini membuka ruang jangkitan Covid 19 kepada hadirin majlis online. Bukankah hadis sahih menyebutkan: "Tidak boleh membahayakan diri dan orang lain."

Sebenarnya, bersabar, bersolat dan berpuasa itu lebih baik untuk mengurus tadbir hawa nafsu. Amalan berjihad menentang hawa nafsu dalam saat negara mengalami pandemik Covid-19 (dan ketika) Ramadhan sebenarnya memperolehi ganjaran pahala yang amat besar disisi Allah SWT.

Inilah masanya untuk kita bertindak bijak mengurus diri dan hal ehwal agama dengan penuh hikmah demi membantu kerajaan membasmi wabak Covid 19. Rakyat dan kerajaan berpisah tiada.

Apakah tuan-tuan selesa, jika tuan-puan pula dikategorikan sebagai kluster pengantin jika mendapat jangkitan?

Wujud pula gelombang baharu Covid 19, manakala jabatan agama pula ditohmah dengan fitnah kerana semata-mata memenuhi ‘hajat’ tuan-puan? Allahu Allah.

Kesimpulannya bagi saya, bersabar, berjihad dan "menutup ruang-ruang kerosakan lebih utama dari membawa kebaikan."

Sama-sama kita bersabar, bersolat, berpuasa dan istiqamah mendekatkan diri kepada Allah SWT.


DR ZAMIHAN MAT ZIN ialah Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS