Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cuti Aidilfitri semasa Covid-19: Menteri agama akan putuskan
Diterbitkan:  Apr 20, 2020 2:34 PM
Dikemaskini: 6:40 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Mohamad, akan memberikan kata putus mengenai bagaimana kedudukan cuti hari raya tahun ini ketika ancaman Covid-19 masih berlangsung.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, berkata hal itu akan diputuskan oleh menteri agama tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian semasa ditanya media mengenai perancangan kerajaan menjelang Aidilfitir tahun ini dan pandangannya terhadap keputusan Jakarta menangguhkan cuti lebaran kepada Dis 2020.

"Hal ini akan diputuskan oleh menteri agama.

"Saya percaya ia akan dibincangkan (oleh menteri terbabit). Bukan saja mengenai (cuti) raya tetapi juga mengenai sembahyang tarawih dan sebagainya, semua akan diputuskan menteri agama," kata beliau pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Untuk rekod Jakarta baru-baru ini mengumumkan cuti rasmi bagi sambutan Aidilfitri di seluruh Indonesia ditunda ke akhir tahun bagi mengelakkan orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung masing-masing, sekali gus menyukarkan usaha mengekang jangkitan Covid-19.

Lazimnya umat Islam di negara itu akan pulang beramai-ramai dan menyaksikan jalan raya mengalami kesesakan luar biasa.

Hari raya puasa tahun ini dijangka disambut pada 24 Mei.

Menurut The Jakarta Post kira-kira 20 juta orang akan terlibat dalam tradisi tahunan itu.

Walaupun Aidilfitri akan tetap diraikan, Menteri Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Muhadjir Effendy, memindahkan cuti terkumpul hari raya selama empat hari bermula 26 kepada 28 hingga 31 Disember, yang berhampiran dengan cuti akhir tahun lain.

Lihat Komen
ADS