Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muzakarah fatwa saran solat raya di rumah tahun ini
Diterbitkan:  Apr 21, 2020 5:56 PM
Dikemaskini: 11:36 AM

Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) mencadangkan Solat Hari Raya Aifilfitri tahun ini tidak dilakukan di masjid dan surau, kata mufti Pulau Pinang.

Sebaliknya, kata Dr Wan Salim Mohd Noor, MKI memutuskan ia hendaklah dilakukan di rumah bersama anggota keluarga.

“(MKI juga) mencadangkan supaya rakaman solat Hari Raya Aidilfitri dan takbir hari raya pada tahun-tahun lalu disiarkan melalui televisyen dan radio untuk menzahirkan syiar hari kebesaran Islam tersebut,” katanya.

Umat Islam dijangka berpuasa mulai Jumaat ini dan merayakan Aidilfitri pada 24 Mei depan.

Menjawab soalan Malaysiakini, Wan Salim berkata MKI juga menyarankan solat Tarawih tahun ini tidak dibenarkan diadakan di masjid secara berjemaah.

“Sebaliknya umat Islam hendaklah melakukannya di rumah bersama anggota keluarga masing-masing,” katanya.

MKI juga, katanya lagi, mencadangkan solat Jumaat dan solat berjemaah diteruskan selama perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Untuk memenuhi fardhu kifayah hanya imam, bilal dan siak sahaja dibenarkan mendirikan solat berjemaah di masjid,” katanya lagi.

Semalam, Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad memberitahu Malaysiakini bahawa mesyuarat hari ini akan diadakan secara sidang video.

Bagaimanapun, setakat laporan ini ditulis, tidak jelaskan sama ada mesyuarat ada membincangkan perkara lain seperti keperluan berpuasa bagi pesakit Covid-19 serta isu berkaitan kadar zakat lebih murah.

Pesakit Covid-19 wajib puasa kecuali mudarat

Wan Salim turut memberitahu pesakit Covid-19 wajib berpuasa dalam bulan Ramadan kecuali jika diyakini puasa akan memudaratkannya, menambahkan lagi sakit atau melambatkan kesembuhannya.

“Namun ia mesti disahkan oleh pakar kesihatan dan jika puasa ditinggal, pesakit perlu menggantinya setelah sembuh,” jelasnya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, beliau juga menyatakan pada 8 April lalu, MKI telah bersidang mengenai kadar zakat fitrah bagi setiap negeri.

“Muzakarah MKI telah menyerahkan penentuan kadar pembayaran zakat fitrah kepada pihak berkuasa agama negeri-negeri.

“Ia disebabkan taraf hidup dan pendapatan umat Islam adalah berbeza-beza antara satu negeri ke satu negeri,” jelasnya. 

Lihat Komen
ADS