Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siti Kasim persoal kenyataan menteri agama dalam bahasa Arab
Diterbitkan:  Apr 21, 2020 6:49 PM
Dikemaskini: 12:20 PM

Aktivis sosial Siti Kasim mempersoalkan mengapa kenyataan media yang dikeluarkan menteri agama ditulis dalam bahasa Arab.

Ini selepas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengeluarkan kenyataan media berhubung kadar zakat fitrah di Wilayah Persekutuan, Jumaat lalu.

“Bahasa kebangsaan kita bahasa Arab atau bahasa Melayu?.

“Boleh tolong cerita sikit, kenapa kenyataan media menteri agama dalam bahasa Arab,” tulis Siti Kassim di Facebook miliknya.

Untuk rekod, kenyataan media dalam bahasa Arab yang disiarkan di Instagram itu merupakan terjemahan daripada kenyataan media dalam bahasa Melayu.

Sementara itu sorang pengguna Twitter @mkhairulazri mencadangkan terjemahan untuk urusan rasmi kerajaan atau menteri ke bahasa selain bahasa Melayu mesti dibuat pada kertas putih sahaja tanpa kepala surat (letterhead).

Selepas dipertikai sebahagian warganet, Facebook Friends of Dr Zulkifli Al-Bakri memuat naik satu hantaran dengan memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut.

“Tidak semua kenyataan media diterjemahkan dalam bahasa Arab, kecuali yang mempunyai nilai bagi dunia antarabangsa terutamanya Timur Tengah.

 “Dalam konteks ini, pengurusan zakat di Malaysia memang antara tumpuan dunia luar,” jelasnya.

Laman Facebook itu turut menyatakan semua kenyataan Dr Zulkifli yang berbahasa Melayu boleh didapati di portal menteri tersebut dan media sosial lain.

“Kenyataan media dalam bahasa Inggeris juga boleh didapati di Facebook pada hantaran yang sama,” jelasnya.

Malaysiakini telah menghubungi Dr Zulkifli untuk mendapatkan maklum balas beliau.

'Hanya orang bodoh tak faham hierarki bahasa'

Sementara itu, seorang peguam yang dikenali sebagai Aidil Khalid berkata perkara itu tidak menjadi isu sekiranya masyarakat faham kedudukan bahasa di negara ini, kerana tidak semua bahasa 'sama rata di sisi undang-undang'.

"Pertama, sudah tentu kita maklum bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang mesti digunakan untuk semua tujuan rasmi (Rujuk: Perkara 152 Perlembagaan, dan seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan).

"Kedua, dalam masa yang sama, perlembagaan juga turut memperuntukkan bahawa Islam adalah agama persekutuan (Perkara 3 Perlembagaan), dan keputusan Mahkamah juga telah berulang kali menegaskan bahawa kerajaan persekutuan berkewajipan untuk mengambil segala langkah-langkah yang perlu bagi meninggikan syiar agama Islam (rujuk: keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes kalimah Allah)" jelasnya menerusi Facebook.

Justeru kataya, bahasa Arab mendapat tempat yang tinggi untuk tujuan rasmi di negara ini kerana ia merupakan bahasa al-Quran dan hadith, juga bahasa kitab-kitab turath para ulama.

"Hanya orang bodoh yang tidak faham hierarki dan kedudukan bahasa di negara ini sahaja, yang akan bertempik melolong mempersoalkan mengapa dalam upacara rasmi, misalnya, doa dibacakan dalam bahasa Arab, dan bukan bahasa kebangsaan. 

Terdahulu, Dr Zulkifli dalam kenyataan medianya mengumumkan kadar zakat fitrah bagi Wilayah Persekutuan pada tahun ini ditetapkan pada RM5 dan RM7 selepas mencapai persetujuan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ Wilayah Persekutuan.

Kadar itu ditetapkan dengan melihat kepada situasi semasa ekoran penularan wabak Covid-19.

Lihat Komen
ADS