Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Al-Arqam pernah menjadi perhatian sekitar tahun 1990-an selepas kerajaan mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menahan pemimpinnya, termasuk pengasasnya Ashaari Mohammad di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pada penghujung tahun 2012, lebih seratus ahli yang diketuai adik Ashaari, Hashim Muhammad menubuhkan kumpulan serpihan, di mana mereka membentuk syarikat yang digelar sebagai "Albab Family Trading" di Sendayan, Negeri Sembilan (AFT).

Mereka sejak itu mengambil pendekatan 'low profile', namun kebelakangan ini sekali lagi mencuri tumpuan selepas dikaitkan dengan kluster baru penyebaran wabak Covid-19.

Miqdam Bakhtiar, yang merupakan ahli kumpulan itu berkata mereka tidak tahu dari mana virus itu bermula.

Kumpulan yang terdiri daripada 60 keluarga dan 300 ahli itu sebelum ini mewujudkan rangkaian kedai runcit, kedai makan dan klinik di Sendayan.

Miqdam, yang menguruskan Qathrunnada iaitu kumpulan nasyid di bawah kumpulan itu, berkata mereka hanya menyedari penularan virus berkenaan selepas seorang pemimpin mereka meninggal dunia. 

(Nota: Malaysiakini tidak mendedahkan nama mangsa kerana menghormati privasi keluarganya).

"Beliau menderita penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi sejak beberapa lama. Selain itu, dia juga menghadapi komplikasi jantung.

"Oleh itu, kami sangka beliau hanya tak sihat kerana kadangkala memang keadaannya seperti itu. Dan bila dia sihat, kadang-kadang dia akan keluar untuk melawat pelajar tahfiz AFT dan bersolat bersama mereka.

"Jika tidak, dia akan menghabiskan masa berehat di rumah, terutama ketika perintah kawalan pergerakan (PKP)," kata Miqdam.

Kluster Sendayan

Mangsa yang berusia 54 tahun dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban selepas keadaannya menjadi semakin teruk pada 11 April. 

Beliau meninggal dunia akibat virus itu pada jam 1.50 pagi hari berikutnya selepas beberapa jam dimasukkan ke hospital.

"Kami juga hairan di mana beliau mendapat virus itu," kata Miqdam.

Miqdam berkata pemimpin itu tidak terlibat dalam ijtima Tabligh di Sri Petaling, Kuala Lumpur yang berlangsung pada penghujung Februari dan menjadi salah satu kluster penyebaran Covid-19.

Selepas kematian pemimpin berkenaan, Kementerian Kesihatan mula mengambil tindakan dan mengesan kontak rapat beliau.

Kakitangan KKM kemudian mendapati 39 orang yang berhubung dengan pemimpin berkenaan telah dijangkiti wabak tersebut.

Miqdam berkata, ini termasuk 11 ahli keluarga allahyarham dan 15 pelajar tahfiz AFT. 

Seremban kemudian diisytiharkan sebagai zon merah. 

Berikutan kenaikan kes secara mendadak itu, pihak berkuasa kesihatan telah menjalankan ujian kepada semua ahli kumpulan itu di Masjid Sheikh Haji Ahmad selama dua hari sehingga 17 April.

Sehingga tengah hari Isnin (21 April), sebanyak 77 kes positif direkodkan di Sendayan. 

Sumber berkata, kesemua 77 individu itu dikaitkan dengan kumpulan berkenaan dan sedang menjalani rawatan.

Masyarakat setempat terkejut

Ahli jawatankuasa masjid, Arriz Tassri Abu Bakar berkata, kejadian itu menakutkan masyarakat setempat kerana ramai yang sebelum ini tidak mengambil serius pemakaian topeng muka.

"Ia benar-benar mengejutkan kami semua. Dari kosong, jumlah kes tiba-tiba melonjak kepada lebih 30 dalam satu hari. Orang ramai takut terutama apabila berita palsu mengenai jangkitan itu mula tersebar.

"Kawasan ini, walaupun bandar, tetapi cara hidup seperti di kampung. Ramai yang tak pernah peduli untuk pakai topi keledar ketika menunggang motosikal. Dan begitu juga halnya dengan topeng muka.

"Tepi bila kawasan ni jadi zon merah, keadaan mula berubah," katanya.

Pembantu stor, Muhammad Najmi Omar, 22 yang bekerja di sebuah kedai serbaneka berhampiran premis AFT juga menyatakan perkara sama.

"Sebelum PKP, kawasan ini sibuk dengan ramai orang datang ke sini untuk berbelanja. Tetapi sejak (PKP) dilaksanakan, bilangannya menurun. Dan sekarang, dengan kes positif dikesan, lagi menurun.

"Kami juga telah mula memeriksa suhu badan setiap pelanggan dan minta mereka menggunakan sanitiser tangan.

"Sebelum ini ramai penduduk di sini juga tidak memakai topeng muka, tetapi kini alhamdulillah hampir semua yang datang mula memakainya," katanya.

Seorang lagi penduduk Sendayan, Mohd Azmi Ibrahim, yang bekerja sebagai juruteknik, bimbang kawasan itu mungkin diletakkan di bawah PKP dipertingkatkan (PKPD).

"Saya tak bersedia untuk diletakkan di bawah PKPD. Saya masih perlu pergi kerja setiap hari.

"Saya harap semua orang akan ikut perintah untuk tinggal di rumah dan memecahkan rantaian jangkitan," kata lelaki itu yang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menghadapi stigma

Ditanya mengenai AFT, Azmi berkata kumpulan itu memang dikenali penduduk Sendayan dan mereka juga telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk masyarakat.

Sementara itu, Arriz Tassri juga menyuarakan kebimbangan beliau terhadap kesan kejadian itu kepada AFT.

Menurut beliau, segelintir masyarakat mula mempunyai stigma terhadap kumpulan itu berikutan wabak berkenaan.

"Dah mula ada beberapa stigma terhadap AFT sekarang. Ini amat membimbangkan kami, kerana kumpulan ini adalah sebahagian daripada kami. Mereka tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sebelum ini," katanya.

Sentimen yang sama turut dikongsi oleh pengerusi persatuan penduduk Taman Nusari Bayu 1, Mohamad Zin Mustapa, yang mengatakan AFT telah dianggap sebahagian daripada keluarga mereka.

"Kumpulan itu telah berada di sini sekian lama, dan kami rapat seperti sebuah keluarga. Oleh itu, apabila pemimpin mereka meninggal dunia, kami merasakan sedih seperti kehilangan salah seorang daripada kami sendiri," katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Zin percaya orang ramai tidak menyalahkan AFT disebabkan virus berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS